Bibi Jawab Isu Gaji Lopes - Bola Sepak | mStar

Bibi Jawab Isu Gaji Lopes

Diterbitkan: Ahad, 15 April 2018 7:30 AM

Bibi dan Timbalan Presiden Kafa, Datuk Seri Afandi Hamzah berbincang dengan Lopes mengenai isu penamatan kontraknya.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) kecewa dengan tindakan pihak tertentu yang sengaja memanipulasi isu berkaitan bekas pemain import The Red Warrior (TRW), Bruno Lopes bagi menjejaskan imej badan induk bola sepak negeri itu.

Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, pemain itu seperti sengaja mencipta isu dan tidak sepatutnya menyebarkan berita tidak benar kepada media.

Malah, katanya, pihak media yang mendengar berita itu sepatutnya merujuk dahulu kepada Kafa untuk mendapatkan kesahihan mengenai dakwaan tersebut.

"Saya benar-benar kecewa. Kenyataan Lopes yang tersebar di media sosial baru-baru ini telah menjatuhkan imej saya dan juga Kafa.

"Saya berada dalam Kafa untuk membantu sukan bola sepak negeri Kelantan, bukan untuk diaibkan. Malah saya juga tidak pernah menyusahkan mana-mana pihak lagi setakat ini," katanya kepada mStar Online.

Jelas Bibi, pihak Kafa sudah melunaskan gaji Lopes bagi Mac pada 9 April lalu.

Pada masa sama, beliau berkata, Lopes akan terus menerima gaji bulanannya sehingga Jun ini seperti yang telah dipersetujui kedua-dua pihak menerusi kontrak sebelum ini.

"Dalam kontrak sepatutnya bayar setiap 7 haribulan tapi saya ke China dan rancang untuk selesaikan selepas balik. Namun saya terkejut apabila isu ini sengaja diperbesarkan," katanya.

Bruno Lopes.

Usahawan batik itu menjelaskan kontrak Lopes ditamatkan lebih awal atas persetujuan bersama selepas dia bergelut dengan prestasi tidak menentu dan kecederaan serius.

"Meskipun kontrak sudah ditamatkan kita masih buat bayaran gaji secara berjadual kepadanya sehingga Jun ini. Ia turut dipersetuju Lopes sebelum dia pulang ke Brazil," katanya.

Terdahulu, sebuah akhbar berbahasa Melayu melaporkan pemain import Brazil itu menagih janji Kafa untuk membayar wang pampasan selepas ditamatkan kontrak.

Menurut akhbar tersebut, Kafa mengambil pendekatan berdiam diri berhubung soal pampasan yang sepatut dibayar kepada pemain berusia 31 tahun itu.

Ditanya mengenai dakwaan itu, Bibi berkata, beliau tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan sebaliknya mahu menyelesaikan isu itu secara profesional.

Beliau turut mengakui terpaksa menyekat nombor pemain tersebut atas dasar privasi.

"Mana-mana individu pun mesti hormati masa seseorang sama seperti waktu berurusan mengenai sesuatu perkara," katanya.

Sementara itu, Bibi menggesa pihak media perlu melaporkan berita yang adil dan tidak mendengar kenyataan sebelah pihak.

"Saya pun pelik kenapa mereka beria-ia mendengar kenyataan sebelah pihak sahaja. Lebih molek sebelum siarkan berita itu harap cuba minta penjelasan daripada Kafa terlebih dahulu supaya tidak mengaibkan mana-mana pihak," katanya.

Tags / Kata Kunci: Kafa , Kelantan , Bruno Lopes
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan