Nidzam Adzha Rombak Kesebelasan Kedah - Bola Sepak | mStar

Nidzam Adzha Rombak Kesebelasan Kedah

Diterbitkan: Jumaat, 13 April 2018 2:50 PM

(Ubah saiz teks)

KETUA Jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusof akan melakukan rombakan ketika berdepan Selangor dalam saingan Liga Super, di Stadium Darul Aman.

Beliau berkata, beberapa rombakan akan dibuat pada kesebelasan utama berikutan ketiadaan tonggak tengah, Liridon Krasniqi yang digantung dua perlawanan dan penyerang muda Farhan Roslan yang terpaksa direhatkan kerana kecederaan lutut.

“Saya terpaksa melakukan beberapa pertukaran pada kesebelasan utama yang beraksi pada perlawanan ini ketika bertemu Selangor bagi memastikan tiga mata menjadi milik kita.

“Hanya terbaik dan mampu menggalas tugas mereka sahaja akan berada di padang, tidak kira pemain itu import atau tempatan.

“Kekalahan kepada Pahang kini sudah menjadi sejarah dan pemain perlu menumpukan perhatian terhadap perlawanan Liga Super dan saya yakin mereka tahu apa yang perlu dilakukan.

“Setelah bersama mereka sejak 2014, saya tidak menghadapi masalah untuk mengetahui kemampuan barisan pemain dan kini hasrat kami ialah untuk mencari tiga mata penuh bagi mengembalikan keyakinan ribuan peminat setia pasukan Kedah,” katanya kepada mStar Online.

Katanya, semangat dan kesungguhan yang dipamerkan oleh kesemua pemain ketika latihan membuktikan barisan pemain sudah melupakan kemelut sebelum ini.

“Saya dan kesemua pemain mengetahui kesukaran yang bakal dihadapi ketika berdepan Selangor tetapi barisan pemain yang sudah arif dengan corak permainan lawan dan sudah bersedia secara mental dan fizikal bagi berdepan perlawanan yang perlu dimenangi.

“Selangor atau lawan lain sama sahaja hanya kesungguhan dan kemahuan tinggi daripada kesemua yang beraksi sahaja mampu menjamin kejayaan.

“Saya akan bariskan pemain terbaik untuk beraksi tanpa khidmat Liridon. Pemain kini sudah sesuai dengan corak permainan ini dan saya hanya berdoa agar apa yang telah dirancangkan dapat dimanfaat pemain," ujarnya.


 


Tags / Kata Kunci: Kedah , Nidzam , Liga Super
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan