Liga Super: Selangor mahu padam badi Kedah - Bola Sepak | mStar

Liga Super: Selangor mahu padam badi Kedah

Diterbitkan: Khamis, 12 April 2018 8:26 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Selangor tekad memastikan kemarau tujuh tahun tanpa kemenangan ke atas Kedah dalam kempen Liga Super berakhir apabila kedua-dua pasukan bertemu buat pertama kali musim 2018 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Jumaat malam.

Selepas gagal mencatatkan kemenangan dengan Kedah dalam saingan Liga Super sejak 2011, Selangor memasang tekad untuk menamatkan penantian dengan membawa pulang tiga mata penuh.

Kali terakhir skuad Gergasi Merah merakam kemenangan Liga Super terhadap Kedah adalah  pada musim 2011 dengan menang 2-0 masing-masing dalam dua pertemuan pada musim tersebut sebelum merekodkan empat seri dalam enam pertemuan antara mereka selepas itu.

Selepas lima perlawanan musim ini, kedua-dua pasukan itu berkongsi enam mata dengan Kedah menduduki tangga ketujuh dengan perbezaan gol diikuti Selangor.

Pengendali  Selangor, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir, berharap momentum kemenangan 3-0 ke atas Kuala Lumpur pada suku akhir pertama Piala FA, Sabtu lepas, dapat diteruskan esok.

“Misi kami adalah membawa pulang mata...tidak kira sama ada tiga ataupun  satu. Saya menjangka Kedah akan memberi saingan sengit di gelanggang sendiri tetapi kami sudah bersedia.

“Fokus serta mentaliti pemain berada pada tahap positif dan berharap segala perancangan taktikal dapat dijelmakan dengan baik di atas padang,” katanya kepada Bernama pada Khamis.

Pada masa sama, Muhammad Nazliazmi boleh menarik nafas lega selepas pemain tengah, Azamuddin Mohd Akil dijangka dapat diturunkan pada aksi itu selepas disisihkan hampir tiga bulan akibat kecederaan yang dialami pada aksi pembukaan menentang Kuala Lumpur, Februari lepas.

Namun beliau memaklumkan pemain muda meningkat naik, Muhammad Syahmi Safari serta Joseph Kalang Tie terpaksa disisihkan akibat kecederaan sementara khidmat pemain import, Willian Pacheco tidak dapat digunakan akibat digantung perlawanan.

“Kembalinya Azamuddin dalam pasukan ibarat satu khabar baik bagi kami semua tetapi saya perlu melihat prestasi dan tahap kecergasannya sehingga esok (Jumaat) sebelum memutuskan sama ada beliau akan diturunkan ataupun tidak,” tambah beliau. -Bernama

Tags / Kata Kunci: Liga Super , Kedah , Selangor
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan