Fajer beri amaran tegas, gugur pemain jika terlibat dua perkara! - Bola Sepak | mStar

Fajer beri amaran tegas, gugur pemain jika terlibat dua perkara!

Diterbitkan: Isnin, 9 April 2018 12:55 PM

Fajer (kiri) memantau pemain-pemainnya ketika sesi latihan kecergasan.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ketua jurulatih Kelantan, Fajer Ebrahim memberi amaran keras kepada semua pemainnya.

Pengendali berusia 53 tahun itu mengingatkan dua perkara penting yang ditekankan dalam menerajui pasukan itu.

"Saya berharap tiada unsur politik dalam pasukan. Jika didapati mempunyai unsur-unsur tersebut pemain akan dikeluarkan dari pasukan.

"Untuk pemain yang menghadapi kecederaan jangka masa panjang akan dikeluarkan serta merta dari pasukan.

"Tiada tempat untuk mereka dalam pasukan. Bagi pemain yang mengambil sikap sambil lewa, tidak serius dan yang cedera dalam pasukan, saya tidak akan meletakkan mereka dalam game list (senarai perlawanan)," ujarnya dalam satu kenyataan di laman rasmi Kelantan FA.

Dalam masa sama, bekas jurulatih Syria ini turut membuka peluang kepada pemain lain yang mahu menyertai skuad Kelantan.

"Saya mengalu-alukan pemain tempatan dan import untuk menyertai pasukan untuk perpindahan pemain bila perpindahan pemain kedua yang akan dibuka pada bulan Mei nanti.

"Saya juga memberi peluang kepada pemain-pemain muda hari ini untuk terus komited bersama pasukan kerana saya yakin pemain muda yang ada sekarang mampu bersaing dengan pemain-pemain senior lain.

Fajer (kanan) berharap ahli-ahli exco kafa dapat membantu Bibi Ramjani.

"Ramai pemain-pemain senior telah dikeluarkan dari pasukan, ini adalah salah satu perancangan saya untuk menjayakan lagi pasukan yang saya kendalikan dan bukan niat untuk menganiaya mereka.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana telah banyak membantu pasukan sebelum ini.

"Saya yakin mereka mampu mendapat tempat di pasukan lain nanti," ujarnya.

Fajer juga turut menyeru kepada semua penyokong The Red Warriors supaya sentiasa memberi sokongan penuh.

"Untuk penyokong yang dihormati, saya amat menghormati penyokong Kelantan kerana amat fanatik dengan pasukan kesayangan mereka.

"Saya akan menjanjikan permainan yang menarik di masa depan.

"Apa yang saya lakukan selama ini semuanya kerana untuk kegembiraan penyokong di kemudian hari, bukan semata-mata untuk diri saya dan yang paling penting untuk presiden Kafa (Persatuan Bola Sepak Kelantan) Bibi Ramjani Ilias Khan.

"Malah saya juga berharap jika ahli-ahli exco yang sedia dapat membantu beliau dalam membentuk pasukan yang baharu ini kerana saya melihat presiden hanya 'berjalan seorang diri', jelasnya.

Tags / Kata Kunci: Fajer Ebrahim , Kelantan FA
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan