Mahali fokus keputusan positif bertemu Perak - Bola Sepak | mStar

Mahali fokus keputusan positif bertemu Perak

Diterbitkan: Jumaat, 6 April 2018 2:41 PM

Mahali (kanan) bersama penjaga gol Malaysia Khairulazhan Khalid (kiri) dan pemain Selangor, Mohd Razman pada majlis pelancaran but terbaharu Puma, Khamis. Foto: INTAN SYUHADA/THE STAR.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pemain PKNS FC, Mahali Jasuli mengharapkan satu keputusan positif dapat diraih sewaktu melayani kunjungan Perak dalam aksi pertama saingan suku akhir Piala FA 2018 di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Mahali, 29, berkata pasukannya melakukan persiapan rapi bagi menghadapi aksi tersebut dan keputusan positif di laman sendiri itu akan memberi motivasi serta membakar semangat pemain menjelang aksi kedua pada 21 April ini.

Jelas Mahali, Perak yang kini menghuni tangga keenam Liga Super sudah pasti menurunkan skuad terbaik untuk memburu kemenangan sekali gus menebus kekecewaan edisi 2016 apabila disingkirkan PKNS pada peringkat separuh akhir.

“Persiapan dilakukan amat baik kerana kita tahu perlawanan Sabtu ini sedikit berbeza dan Perak mungkin akan turun dengan misi membalas dendam edisi 2016 serta kekalahan pada aksi Liga Super, Februari lalu. Oleh itu kami perlu kekalkan fokus dalam aksi tersebut dan lebih waspada terhadap cabaran mereka nanti.

“Kita akui prestasi Perak dalam tiga perlawanan sebelum ini agak konsisten tetapi apa yang pasti mentaliti pemain (PKNS) sudah pun berada di tahap yang inginkan kemenangan dan berharap pada perlawanan Sabtu ini kami dapat meraih keputusan positif untuk dibawa ke perlawanan kedua,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran Puma Future 18.1 oleh Puma Malaysia.

Sementara itu, mengulas mengenai posisi baharunya dalam skuad kebangsaan, dia menyifatkan ia tidak memberi kesan kepada peranannya di kelab selaku pemain sayap dan bersedia diturunkan di mana-mana posisi jika diperlukan jurulatih.

Mahali bertindak sebagai pemain tengah ketika membantu skuad kebangsaan kendalian ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe menamatkan kemarau 12 perlawanan tanpa sebarang kemenangan dengan membelasah Bhutan 7-0 pada aksi persahabatan antarabangsa Kelas A di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad lepas.

“Bagi saya tidak menjadi masalah jika diturunkan di mana-mana posisi dan saya sentiasa bersedia jika diperlukan bermain di tengah atau pun sayap,” ujar Mahali.

Tags / Kata Kunci: Mahali Jasuli , Puma , PKNSFC
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan