Sharel Fikri Mampu Beri Impak Positif Kepada Harimau Malaya - Bola Sepak | mStar

Sharel Fikri Mampu Beri Impak Positif Kepada Harimau Malaya

Diterbitkan: Jumaat, 30 Mac 2018 8:28 PM

Para pemain Skuad Harimau Malaya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas perlawanan menentang Lubnan di Stadium Camille Chamoun Sports City, Beirut. - Bernama

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya yang menghuni tangga ke-178 dalam ranking dunia kini mengharungi 12 perlawanan antarabangsa tanpa sebarang kemenangan sejak kali terakhir menewaskan Kemboja 3-2 dalam saingan Piala AFF Suzuki 2016.

Tumpuan sudah pasti tertumpu ke arah barisan anak buah ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe yang diharap mampu menamatkan episod suram itu apabila melayani kunjungan pasukan ke-188 dunia, Bhutan pada aksi persahabatan antarabangsa Kelas A di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.

Bagi pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, beliau percaya penyerang prolifiknya Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi (gambar) mampu memberi impak positif terhadap jentera serangan skuad kebangsaan sekiranya diturunkan pada aksi tersebut.

Abu Bakar berkata pemain berusia 23 tahun itu yang sebelum ini hampir menggantung but pada 2015 selepas disahkan mengalami masalah jantung, memiliki karakter seorang penggempur semula jadi selain mampu bermain di semua posisi pada bahagian serangan.

“Dia (Muhammad Shahrel) layak menyarung jersi kebangsaan selepas kerja keras dan keazaman yang ditunjukkan dalam usaha meningkatkan prestasinya selama ini selain membuktikan dia salah seorang penyerang tempatan terbaik dalam Liga Malaysia ketika ini.

“Mungkin dia kurang dari segi pengalaman beraksi di pentas antarabangsa, tetapi dia seorang pemain yang bijak membaca peluang serta mudah menyesuaikan diri dalam sesuatu perlawanan,” katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Abu Bakar berkata kemampuan  menjaringkan gol melalui tandukan serta kebolehan mengawal bola dengan kedua-dua kakinya menjadikan beliau seorang penyerang yang istimewa dan kehadirannya dalam skuad kebangsaan akan memberi lebih banyak pilihan kepada Cheng Hoe.

“Dengan keupayaan menjaringkan gol menerusi pelbagai cara selain memiliki susuk tubuh seorang penyerang yang digeruni di tambah dengan kebolehan menggunakan kedua-dua kakinya, saya rasa dia akan memberi nafas baharu kepada jentera serangan jika diturunkan,” katanya.

Untuk rekod, Muhammad Shahrel yang dinobatkan Penyerang Terbaik pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2017, sebelum ini pernah dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan oleh     bekas ketua jurulatih Nelo Vingada, namun digugurkan akibat kecederaan.

Beliau dipanggil semula menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan bagi menghadapi aksi terakhir Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lubnan berkesudahan Malaysia tewas 1-2, namun beliau hanya memanaskan bangku simpanan pada perlawanan tersebut.

Tags / Kata Kunci: Shahrel Fikri , Harimau Malaya
   

iklan

Video

Selasa, 17 Julai 2018 6:18 PM

'Penyamun terbang' maut dalam kereta curi

Khamis, 12 Julai 2018 1:05 PM

Lempang pelajar ikut suka hati

Selasa, 10 Julai 2018 6:39 PM

Nak 'gugur jantung' tengok pakcik ini memandu

Selasa, 10 Julai 2018 3:06 PM

Pengasuh pijak, hempas anak jagaan

Isnin, 9 Julai 2018 5:30 PM

Ragam si meow & bola!

Jumaat, 6 Julai 2018 5:39 PM

Tak sanggup tengok mayat mangsa kemalangan

Jumaat, 6 Julai 2018 12:48 PM

Durian buah untuk orang kaya?

Kolumnis

iklan

Iklan