Harimau Malaya Terikat 2-2 Dengan Mongolia - Bola Sepak | mStar

Harimau Malaya Terikat 2-2 Dengan Mongolia

Diterbitkan: Jumaat, 23 Mac 2018 8:17 AM

Pemain negara, Matthew Thomas Davies (kanan) mengasak pemain Mongolia Davaajav Battur pada Perlawanan Persahabatan Bola Sepak Antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis malam. Foto Bernama

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Hasrat Harimau Malaya menamatkan badi 10 perlawanan tanpa sebarang kemenangan tidak kesampaian selepas terikat 2-2 ketika berdepan Mongolia pada aksi persahabatan antarabangsa Kelas A di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis malam.

Skuad negara kendalian Tan Cheng Hoe berjaya mendahului 2-1 sehingga minit ke-70 sebelum Gangkhuyag Ser-Od-Yanjiv menjaringkan gol penyamaan seminit kemudian menerusi sepakan percuma yang menewaskan penjaga gol negara, Muhammad Haziq Nadzli.

Pada aksi Khamis malam, Malaysia yang menghuni ranking ke-178 dunia memulakan perlawanan dengan aksi longlai seawal 10 minit pertama sebelum dua penyerang negara,  Ahmad Hazwan Bakri dan Muhammad Safawi Rasid hampir menceriakan lebih 10,000 penyokong setia yang hadir menerusi perubaaan berbahaya masing-masing.

Asakan serta gerakan menarik jentera serangan negara akhirnya membuahkan hasil apabila memperolehi gol pembukaan hasil jaringan sendiri kapten pasukan Mongolia, Turbat Daginaa, yang gagal menanduk kemas sepakan penjuru Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-31.

Bagaimanapun, kesilapan pertahanan negara Mohamad Fadhli Shas menahan bola hantaran rakan sepasukan membawa padah selepas ia dipintas Enkhbileg Purevdorj sebelum bijak melambung bola menewaskan Muhammad Haziq pada minit ke-42 untuk menjadikan kedudukan 1-1 sehingga rehat.

Bersambung babak kedua, kemasukan pemain tengah Kedah, Muhammad Akhyar Abdul Rasid menggantikan Mahali Jasuli ternyata memberi impak positif selepas pemain berusia 18 tahun itu berjaya mengucarkan-ngacirkan barisan pertahanan Mongolia menerusi larian deras dan idea kreatifnya.

Akhyar membuktikan kemasukan beliau adalah satu keputusan tepat apabila menjaringkan gol kedua negara pada minit ke-65 selepas memperdaya dua pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan kaki kanan yang gagal ditampan penjaga gol Munkh-Erdene Enkhtaivan.

Namun, Gangkhuyag memastikan kegembiraan Malaysia tidak bertahan lama apabila bijak menyempurnakan sepakan percuma yang menerjah penjuru kanan gawang negara untuk memberikan satu keputusan positif kepada pasukannya yang kini berada di ranking ke-189 dunia.

Skuad Harimau Malaya masih mempunyai peluang menamatkan kemarau kemenangan ini apabila melayani kunjungan Nepal pada satu lagi aksi persahabatan antarabangsa Kelas A yang dijadual berlangsung pada 1 April ini di venue sama. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Harimau Malaya
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan