Piala FA: Selangor Tak Pandang Sebelah Mata Kuala Lumpur - Bola Sepak | mStar

Piala FA: Selangor Tak Pandang Sebelah Mata Kuala Lumpur

Diterbitkan: Selasa, 20 Mac 2018 8:52 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Juara lima kali, Selangor tidak mahu memandang sebelah mata keupayaan musuh tradisinya, Kuala Lumpur selepas kedua-dua pasukan itu diundi bertemu pada pusingan suku akhir Piala FA 2018 yang dijadual berlangsung April ini.

Pemangku Ketua Jurulatih Selangor, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir berkata kejayaan anak buahnya mengatasi Kuala Lumpur 2-0 pada aksi pembukaan Liga Super Februari lepas tidak boleh dijadikan sebagai sandaran dalam menghadapi cabaran skuad ‘The City Boys' kali ini.

Katanya, saingan lebih sengit pasti ditampilkan anak buah Fabio Magrao itu selepas mereka menunjukkan peningkatan prestasi dalam beberapa perlawanan liga baru-baru ini termasuk mengejutkan pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim 1-0 diikuti kemenangan 4-3 ke atas Kedah di hadapan penyokong sendiri.

“Kami menganggap aksi berdepan Kuala Lumpur adalah satu pertembungan yang cukup sengit di mana sebelum ini walaupun kita pernah mengalahkan mereka di peringkat liga tetapi itu bukan ukuran kerana saingan Piala FA cukup berbeza.

“Cabaran Kuala Lumpur tidak boleh diambil mudah kerana selepas aksi pembukaan liga tempoh hari, mungkin mereka sudah berada di satu tahap yang berbeza dan kemungkinan juga persiapan mereka kali ini lebih mantap,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis undian pusingan suku akhir Piala FA 2018 pada Selasa.

Sementara itu, kapten pasukan Selangor Mohd Razman Roslan menyifatkan aksi tersebut ibarat pertembungan ‘Manchester Derby' yang pasti menjadi satu perlawanan sukar buat kedua-dua pasukan, namun menegaskan pasukannya sudah bersedia menghadapi cabaran setiap pasukan.

“Bagi saya aksi Selangor dan Kuala Lumpur ini memang mempunyai sejarah tersendiri… ia ibarat pertembungan ‘derby' jadi memang kami tidak akan mengambil mudah dan akan berusaha keras dalam perlawanan itu bagi memastikan Selangor dapat melangkah lebih jauh dalam saingan ini,” katanya.

Sementara itu, Magrao berkata undian itu tidak memberi tekanan kepadanya dan pasukannya tatkala pasukan itu mengimpikan untuk menamatkan badi selama 19 tahun untuk menjulang Piala FA.“Tiada tekanan.

Pada peringkat ini kami tidak boleh memilih lawan kami dan pertandingan dalam piala ini amat berbeza daripada liga kerana apabila kami kalah dalam liga, kami masih ada masa untuk bangkit semula tetapi tidak dalam pertandingan piala ini.

“Tidak dapat disangkal perlawanan pasti sengit dan kami akan membuat persediaan rapi bagi menghadapinya kerana anda tidak boleh melakukan sebarang kesilapan. Kami masih mempunyai kira-kira 20 hari lagi menjelang perlawanan untuk pasukan membuat persediaan mantap pada kali ini,” katanya.- Bernama

Tags / Kata Kunci: Piala FA , Selangor , Kuala Lumpur
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan