Piala FA: Selangor Masih Berbisa, Felda Tepati Ramalan - Bola Sepak | mStar

Piala FA: Selangor Masih Berbisa, Felda Tepati Ramalan

Diterbitkan: Sabtu, 17 Mac 2018 8:01 AM

Kapten pasukan Terengganu FC (TFC) Tchetche Hermann Brice Kipree (dua, kanan) diasak pemain pertahanan pasukan Selangor pada perlawanan Piala FA 2018 di Stadium Sultan Nasiruddin Shah Jumaat malam. Foto: Bernama

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Juara Piala FA 2009, Selangor membuktikan mereka masih  berbisa walaupun ketua jurulatih P. Maniam baru sahaja ‘direhatkan' Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), apabila menewaskan Terengganu 3-1 pada aksi pusingan ketiga Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu Jumaat malam.

Namun, barisan anak buah pemangku jurulatih, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir dikejutkan dengan jaringan pertama skuad Sang Penyu pada minit ke-23 menerusi Mohd Shahrul Aizad Zulkufli.

Skuad Gergasi Merah tidak cepat melatah, berselang tiga minit kemudian, penyerang import dari Sepanyol, Rufino Segovia menyamakan kedudukan dan Rufino sekali lagi menggegarkan gawang pada minit ke-68 untuk jaringan kedua peribadinya.

Pemain antarabangsa Indonesia, Evan Dimas Darmono turut mencetak nama sebagai penjaring apabila menyumbangkan gol ketiga pasukan pelawat pada minit ke-60, sekali gus menyaksikan Selangor mara ke suku akhir saingan Piala FA.

Turut mengiringi Selangor ke suku akhir adalah Felda United yang mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas UKM FC pada aksi di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Pemain import, Thiago Augusto Fernandes muncul wira skuad ‘The Fighters' apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-38, selepas kedudukan terikat 1-1 hasil jaringan pemain import UKM FC dari Uganda Kipson Atuheire seawal minit kelima sebelum Gilberto Fortunato menyumbat gol penyamaan pada minit ke-13.

Terdahulu, pada perlawanan di sebelah petang, dua jaringan penyerang prolifik Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi dan satu gol menerusi pemain import dari Korea Selatan Gisung Yeon memastikan PKNP FC mara ke suku akhir dengan bergaya setelah menewaskan Kuantan FA 3-0.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Negeri, Batu Kawan itu, Muhammad Shahrel bijak meledak gol pembukaan pada minit ke-32 diikuti jaringan Gisung pada minit ke-70 sebelum Shahrel menyumbat gol kedua peribadinya pada penghujung babak perlawanan.

Lima lagi aksi pusingan ketiga Piala FA akan berlangsung esok, membabitkan pertemuan Pahang dengan juara bertahan Kedah, Pulau Pinang berdepan Perak, UiTM FC menentang Johor Darul Ta'zim, Melaka bertemu Kuala Lumpur dan PKNS FC bakal membuat perhitungan dengan Kelantan.- Bernama

Tags / Kata Kunci: Piala FaA , Selangor , Felda United
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan