TMJ Calon Tunggal Layak Terajui FAM Ketika Ini - Hamidin - Bola Sepak | mStar

TMJ Calon Tunggal Layak Terajui FAM Ketika Ini - Hamidin

Diterbitkan: Jumaat, 16 Mac 2018 7:30 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Keputusan mengejut Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim  yang mahu meletak jawatan selaku presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menggemparkan semua pihak.

Bukan sahaja peminat bola sepak tanah air, bahkan barisan exco yang terdekat dengannya juga turut terkejut.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengakui terkesan dengan pengumuman Tunku Ismail yang dibuat pada Khamis malam itu.

"Saya sebenarnya turut berasa terkejut selepas membaca kenyataan Tunku Ismail  Sultan Ibrahim malam tadi  yang menyatakan harus meletak jawatan sebagai presiden FAM susulan ranking skuad Harimau Malaya yang jatuh tiga anak tangga ke kedudukan ke-178 dunia.

"Namun selepas menelitinya, saya mendapati kenyataan itu lebih kepada luahan kekecewaan baginda terhadap segelintir netizen yang kerap kali  menyalahkan presiden FAM setiap kali ranking skuad Harimau Malaya jatuh.

"Bagi saya, Tunku Ismail tidak perlu sebenarnya untuk meletak jawatan  hanya kerana desakan segelintir netizen ini.Harus diingat bahawa banyak sebenarnya kejayaan dicipta Tunku Ismail sepanjang tempoh hampir setahun bergelar presiden sejak 25 Mac 2017," ujar Hamidin dalam kenyataan awal pagi Jumaat.

Tunku Ismail mengumumkan harus letak jawatan.

Hamidin menjelaskan, pelbagai usaha dan perubahan yang telah dilaksanakan Tunku Ismail dalam tempoh setahun memegang jawatan ini.

"Antara usahanya apabila  berjaya meningkatkan nilai Liga Malaysia berbanding sebelum ini iaitu dengan mendapatkan penajaan lumayan yang sekali gus membolehkan setiap pasukan Liga Super menikmati insentif sebanyak RM3 juta manakala pasukan Liga Premier sebanyak RM1 juta untuk musim ini.

"Pasukan-pasukan bawah umur kebangsaan juga telah mempamerkan persembahan memberangsangkan di peringkat Asia dengan skuad B-23 kendalian Datuk Ong Kim Swee berjaya mara ke suku akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018, skuad B-19 kebangsaan kendalian Bojan Hodak layak ke Kejuaraan B-19 AFC 2018 dan begitu juga skuad B-16 yang layak ke Kejuaraan B-16 AFC 2018 serta skuad futsal lelaki kebangsaan layak ke Kejuaraan Futsal AFC 2018.

"Tidak cukup dengan itu, kredibiliti dimiliki Tunku Ismail turut memudahkan FAM menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak di seluruh dunia serta memperkasakan lagi hubungan dengan FIFA dan AFC," jelas Hamidin.

Berikutan dengan itu, Hamidin menegaskan bahawa semua barisan ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM (Exco FAM) telah bersetuju untuk terus berdiri teguh di belakang kepimpinan Tunku Ismail sebagai presiden FAM dan terus kekal memegang jawatan berkenaan.

"Isu ranking ini pada saya boleh diperbaiki apabila skuad kebangsaan yang kini dikendalikan Tan Cheng Hoe bakal memulakan aksi bagi tahun 2018 ini dengan bertemu Mongolia dan Lubnan, bulan ini.

"Insya-Allah keputusan positif bakal dicapai dan ranking Malaysia akan mula meningkat pada kemas kini seterusnya, bulan depan.

"Takkanlah kerana isu ranking ini, kita rela kehilangan seorang individu yang cukup berwibawa, begitu bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak negara.

"Sudah tentu jika kita membiarkan Tunku Ismail meletak jawatan, kita juga akan kehilangan penaja dan saya sendiri tidak dapat membayangkan siapa yang layak untuk menggantikan tempat Tunku Ismail sebagai Presiden FAM.

"Pada saya, semua ahli gabungan FAM turut sependapat yang Tunku Ismail adalah satu-satunya insan pada masa sekarang ini yang benar-benar layak untuk menduduki kerusi Presiden FAM.

"Malah wakil daripada FIFA dan AFC juga telah menghubungi saya untuk bertanyakan hal ini dan mereka sependapat bahawa Tunku Ismail perlu terus kekal menerajui FAM dan tidak wajar meletak jawatan," ujarnya.

Menurut Hamidin, dalam dunia ini, susah untuk kita memuaskan hati semua pihak.

"Biarpun mungkin Tunku Ismail tidak dapat memuaskan hati segelintir netizen ini, baginda sebenarnya telah berjaya memuaskan hati ramai pemegang taruh sukan bola sepak di negara ini, tidak kiralah di kalangan pasukan, pemain, jurulatih, pegawai, peminat, penyokong dan semua yang terlibat.

"Saya ingin menegaskan bahawa Tunku Ismail masih sah bergelar Presiden FAM kerana mengikut prosedur FAM, jika mana-mana Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM mahu meletak jawatan, individu berkenaan perlu menghantar surat rasmi dan Jawatankuasa Eksekutif FAM berhak menerima atau menolak peletakan jawatan itu," kata Hamidin.

Tags / Kata Kunci: Hamidin Mohd Amin , FAM , Tunku Ismail
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan