TMJ Umum Letak Jawatan Presiden FAM - Bola Sepak | mStar

TMJ Umum Letak Jawatan Presiden FAM

Diterbitkan: Khamis, 15 Mac 2018 9:57 PM

Tunku Ismail mengumumkan ingin meletak jawatan sebagai Presiden FAM melalui kenyataan di Facebook pada Khamis malam. - Bernama

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengumumkan meletak jawatan sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pengumuman mengejutkan itu dibuat di laman Facebook Johor Southern Tigers pada Khamis malam.

Berdasarkan postingnya yang bertajuk ‘Sejarah Tercipta, Sudah Tiba Masanya’ itu, peletakan jawatannya dibuat susulan kedudukan skuad kebangsaan yang jatuh tiga anak tangga dan beliau menganggapnya sebagai satu kegagalan besar.

"Baru-baru ini ranking pasukan kebangsaan telah jatuh tiga anak tangga dan ini merupakan satu kegagalan yang amat besar!

"Oleh itu, saya rasa Presiden FAM harus letak jawatan. Terima kasih untuk segala galanya dan ia telah menjadi satu penghormatan untuk berkhidmat kepada bola sepak Malaysia. Selamat maju jaya," tulisnya pada posting tersebut.

Beliau turut mendedikasikan ucapan kepada seluruh penyokong bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) dan isteri serta anaknya dengan menulis: "Daddy's home!"

Menurut TMJ sepanjang memegang jawatan tersebut beliau telah memperbetulkan struktur bola sepak tanah air, menarik para penaja untuk menyumbang dana kepada bola sepak negara dan menyediakan pelan jangka panjang seperti melakukan kerjasama bersama La Liga.

"Saya juga telah memperjuangkan hak penyiaran untuk kesemua pasukan bertanding di Liga Malaysia bagi meningkatkan kestabilan kewangan.

"Ini adalah satu sejarah dalam bola sepak tanah air apabila buat pertama kalinya setiap pasukan bertanding telah menerima sebanyak RM1 juta hingga RM3 juta setahun untuk wang hak penyiaran yang mana setiap pasukan tidak lagi menggunakan duit rakyat daripada kerajaan," kata beliau.

Tambahnya lagi, skuad Bawah 23 (B23), B19 dan B16 telah berjaya melakar sejarah buat pertama kali apabila berjaya mewakili negara dalam pertandingan peringkat tertinggi di Asia.

Antara komen netizen pada posting tersebut.

Seorang netizen, Muse Syed berkata, biarpun keberatan menerima berita tersebut, namun dia mengalu-alukan kepulangan Tunku Mahkota ke JDT.

"Walaupun tak nak sebenarnya, tapi lantaklah kamu semua. Kamu semua yang tidak habis-habis mahu TMJ letak jawatan kan?

"Balik ke JDT boss, kami menunggu. Fokus kepada JDT (sahaja) senang, apa yang Tuanku buat sudah cukup," ujarnya.

Seorang lagi netizen, Amin Amin pula berkata: "Berita gembira yang ditunggu-tunggu rakyat di pelosok Johor.

"Ini yang membuatkan bertambah-tambah sayangkan TMJ. Selepas ini fokus naikkan JDT di persada dunia," katanya.

Tags / Kata Kunci: TMJ , FAM , letak jawatan
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan