Rakitic Sambut Baik Jika Neymar Pulang Ke Barca - Bola Sepak | mStar

Rakitic Sambut Baik Jika Neymar Pulang Ke Barca

Diterbitkan: Ahad, 11 Mac 2018 6:37 PM

Rakitic (kanan) mengalu-alukan kepulangan Neymar (kiri) ke Nou Camp. - Foto dari AP

(Ubah saiz teks)

PEMAIN tengah Barcelona, Ivan Rakitic mengalu-alukan kepulangan Neymar ke Nou Camp selepas khabar angin tentang penyerang Brazil itu menyesal berpindah dari Catalans ke Paris St Germain (PSG).

Neymar yang semakin pulih daripada pembedahan kaki di Brazil dan terlepas perlawanan PSG menentang Real Madrid pada Selasa, didakwa telah memberitahu bekas rakan sepasukannya bahawa dia ingin pulang ke Barca.

"Dia tak cakap apa-apa lagi kepada saya, tapi kalau saya, saya akan buka pintu seluas-luasnya kepadanya sekarang," kata Rakitic kepada wartawan pada Sabtu selepas Barca mencatat kemenangan 2-0 ke atas Malaga.

"Ia bukan hanya kerana saya ada hubungan baik dengannya, tapi sebab kebolehannya sebagai seorang pemain. Saya sentiasa akan pilih Neymar dalam pasukan saya."

Neymar pernah memenangi dua gelaran liga, tiga King's Cup dan Liga Juara-Juara dalam empat musim bersama Barca, namun berpindah ke Parc des Princes pada Ogos selepas PSG membayar kontraknya yang bernilai €222 juta (RM1.06 bilion).

Dia juga menjaringkan sebanyak 28 gol buat PSG sebelum mengalami kecederaan ketika perlawanan menentang Olympique Marseille pada 26 Februari lalu. - Eurosport

Tags / Kata Kunci: Neymar , Ivan Rakitic
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan