FAM "Alu-Alukan" Hasrat Pasukan Tarik Diri Selepas Didenda - Bola Sepak | mStar

FAM "Alu-Alukan" Hasrat Pasukan Tarik Diri Selepas Didenda

Diterbitkan: Jumaat, 9 Mac 2018 8:34 PM

Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Mana-mana pasukan berhasrat menarik diri selepas dikenakan hukuman dan denda kerana gagal melengkapkan atau menghantar dokumen pendaftaran pada masa ditetapkan untuk bersaing dalam Liga Malaysia musim ini, “dialu-alukan” meneruskan hasrat mereka itu.  

Presiden Persatuan Bola Sepak  Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menempelak hasrat pasukan terbabit, berkata tindakan berkenaan menunjukkan sikap negatif yang boleh menjejaskan usaha meningkatkan kualiti Liga Malaysia ke arah lebih profesional.

"Ada yang ugut hendak tarik diri, saya nasihatkan kepada mereka, sila tarik diri. Kalau semua benda hendak percuma, sampai bila?.

"Dulu satu sen pun tidak dapat, boleh pula hidup. Kena  denda RM500,000 disebabkan tidak ada dokumen lengkap, terus nak ugut tarik diri...silakan tarik diri dan jangan buang masa," titah baginda selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif  FAM di sini, Jumaat.

Baru-baru ini, Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA) yang dikenakan tindakan denda RM500,000, berhasrat untuk menarik diri kerana tidak mampu membayar denda terlalu tinggi itu.

Tunku Mahkota Johor itu berkata pasukan yang dikenakan denda boleh membuat rayuan dan akan dipertimbangkan oleh Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP).

"Anda ada masa dan ruang untuk membuat rayuan dan kita akan mempertimbangkan bergantung kepada kes tapi denda tetap kena denda. Berapa jumlah yang akan dikenakan kita tidak tahu dan mungkin dapat dikurangkan bergantung kepada rayuan yang dibuat," kata Tunku Ismail.

Baginda turut mengumumkan dana RM3 juta kepada setiap pasukan Liga Super dan RM1 juta untuk pasukan Liga Premier, yang akan diberikan Rabu ini.

Dalam pada itu, ditanya mengenai pandangan baginda yang akan genap setahun menerajui FAM pada 25 Mac ini, Tunku Ismail berkata terserah kepada penyokong dan media untuk membuat penilaian terhadap pencapaian baginda.

"Saya tidak boleh angkat bakul masuk sendiri, media dan penyokonglah kena menilai. Saya hanya jalankan kerja saya dan memberi sumbangan seberapa banyak yang boleh," kata Tunku Ismail. - Bernama

Tags / Kata Kunci: FAM , Tunku Ismail Sultan Ibrahim
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan