Jepun Pantau Keupayaan, Taktikal Skuad Kebangsaan - Bola Sepak | mStar

Jepun Pantau Keupayaan, Taktikal Skuad Kebangsaan

Diterbitkan: Selasa, 6 Mac 2018 7:49 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kunjungan skuad Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) Bawah 16 (B-16) bagi menyertai Piala Jenesys B-16 di Jepun menjadi tarikan buat negara Matahari Terbit itu untuk memantau keupayaan dan taktikal skuad kebangsaan.

Perkara berkenaan didedahkan oleh jurulatih Piala Belia SSMP-AMD Panthers B-16, Raja Azlan Shah Raja So'ib yang diamanahkan untuk mengemudikan skuad kebangsaan di kejohanan berkenaan yang akan berlangsung pada 8 hingga 12 Mac ini di Miyazaki, Jepun.

Menurut beliau, perancangan teliti Persekutuan Bola Sepak Jepun (JFA) yang telah memulakan langkah mengenal pasti taktikal dan corak permainan negara-negara serantau pada tahap remaja amat dikagumi.

"Sebenarnya Jepun sudah mengikuti perkembangan kita sejak penampilan pertama kita di Kejohanan Remaja, Piala Iber Costa del Sol 2015 di Sepanyol.

"Tidak mustahil Kejohanan Piala Jenesys ini juga bakal digunakan oleh Jepun untuk memantau dan menilai keupayaan pasukan-pasukan yang bertanding," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma FAM sebelum bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Isnin.

Mengulas lanjut, Raja Azlan berkata skuad negara juga bakal mengambil peluang beraksi di kejohanan berkenaan menimba ilmu serta pendedahan diperingkat antarabangsa.

Skuad B-16 kebangsaan kendalian Raja Azlan Shah berlepas dari Wisma FAM, Kelana Jaya ke KLIA, Sepang, petang Isnin.

"Pemain yang kita bawa kali ini, mereka kurang pendedahan di peringkat antarabangsa. Jadi ia akan menjadi batu loncatan kepada semua pemain untuk bersaing merebut tempat bagi Kejohanan Remaja B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur pada September.

Kejohanan Remaja B-16 AFC juga bertindak sebagai kelayakan zon Asia bagi Piala Dunia B-17 FIFA 2019, dengan empat pasukan teratas layak secara automatik.

Pada masa yang sama, Raja Azlan berkata ia menjadi strategi skuad negara untuk tidak membawa skuad terkuat ke Jepun kerana tidak mahu mendedahkan kekuatan sebenar negara di samping untuk mengekalkan keseimbangan pendedahan bagi setiap pemain.

"Ia merupakan salah satu faktor mengapa kita tidak membawa pasukan utama selain untuk memberi pendedahan dan pengalaman secara keseluruhan kepada semua pemain," katanya.

Mengulas mengenai kejohanan di Jepun, jurulatih berusia 49 tahun itu berkata sasaran mereka di sana adalah untuk untuk memenangi semua perlawanan di sana.

"Tetapi yang paling penting bagi saya adalah pendedahan, mereka perlu bermain pada tahap terbaik," katanya.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama Jepun B-15 dan Timor Leste sementara baki sembilan pasukan lain berada dalam Kumpulan B iaitu Indonesia, Filipina dan Kemboja; Kumpulan C iaitu Thailand, Singapura dan Brunei serta Kumpulan D iaitu Vietnam, Laos dan Pilihan Miyazaki. - Bernama

Tags / Kata Kunci: NFDP
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan