Mohd Azraai Kembali Latih Negeri Sembilan - Bola Sepak | mStar

Mohd Azraai Kembali Latih Negeri Sembilan

Diterbitkan: Rabu, 28 Februari 2018 5:51 PM

Mohd Azraai bersalam dengan Mohamad selepas selesai mengikat kontrak jurulatih Negeri Sembilan. Foto: Bernama

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) hari ini mengumumkan pelantikan Mohd Azraai Khor Abdullah, 65, sebagai ketua jurulatih baharu skuad Liga Super negeri ini.

Dia menggantikan jurulatih Jerman, Jorg Peter Steinebrunner, 45, yang meletakkan jawatan.

Presiden PBNS Datuk Seri Mohamad Hasan berkata keputusan untuk mendapatkan khidmat Mohd Azraai adalah berdasarkan kepada kewibawaan, kebolehan dan juga pengalaman beliau yang pernah membawa Negeri Sembilan muncul juara Piala Malaysia pada 2011.

"Mohd Azraai bukan asing di negeri ini, saya harap dengan adanya beliau, kita akan dapat memperbaiki kedudukan dalam Liga Super. Saya tidak meletakkan matlamat yang tinggi sangat dan atas dasar usaha terbaik jika boleh cuba memenangi satu piala musim ini.

"Beraksi di Liga Super adalah satu liga yang penuh cabaran. Bagi pasukan Negeri Sembilan yang sudah lama berada di Liga Perdana sebelum ini dan kita dapat naik ke Liga Super, kita akan cuba memberikan saingan yang baik," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani kontrak antara Mohd Azraai dan PBNS yang diwakili oleh Setiausaha Kehormatnya Datuk Abd Halim Abd Latif pada Rabu.

Mohamad yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata kontrak Mohd Azraai bermula Khamis hingga hujung tahun ini dan akan dipertimbangkan untuk disambung pada musim 2019 berdasarkan prestasinya.

Katanya untuk peringkat awal ini, beliau meminta Mohd Azraai untuk melihat semula pemain sedia ada termasuk pemain import dan membuat penilaian serta memberikan apa sahaja pandangan dan cadangan pada persatuan.

"Untuk pusingan pertama ini, kita ada banyak lagi perlawanan untuk dihadapi dan saya harap Mohd Azraai dapat membina semula pasukan negeri ini serta membawa pasukan kita ke kedudukan yang lebih selesa.

"Sekarang kita mengumpul tiga mata dan menduduki senarai tempat ke-11 daripada 12 pasukan yang bertanding pada Liga Super musim ini. Kita memberi kuasa penuh kepada Mohd Azraai untuk membuat perubahan, harapan kita dan penyokong tinggi dengan pelantikan ini, ia akan memberi nafas baharu,” katanya.

Sementara itu, Mohd Azraai berkata ia satu tugas penting dan berat serta akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan pasukan Negeri Sembilan berada pada tahap yang lebih tinggi dan meyakinkan.

“Saya akan bekerjasama rapat dengan penolong ketua jurulatih Mohd Asri Ninggal untuk membuat rombakan dan menyusun semula pasukan. Kita akan beri tumpuan berhadapan Kedah pada perlawanan  Piala FA di Alor Setar, Jumaat ini dan harap dapat kita dapat mempamerkan aksi memberangsangkan di Kedah nanti.

"Untuk berjaya, setiap pasukan itu mesti ada identiti, corak dan formasi, manakala setiap pemain mesti ada sikap positif dan komitmen dalam perlawanan. Kesebelasan pemain itu mesti ada sikap berjuang sebenar. Misi utama saya ialah untuk mendapatkan gandingan pemain yang terbaik," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada Mohamad atas pelantikan itu.- Bernama

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan