FAM: Pemain Disabitkan Rasuah Boleh Digantung Seumur Hidup - Bola Sepak | mStar

FAM: Pemain Disabitkan Rasuah Boleh Digantung Seumur Hidup

Diterbitkan: Isnin, 26 Februari 2018 5:08 PM

Hamidin (dua kanan) bersama bekas pemain bola sepak kebangsaan V. Krishnasamy. Foto: FAM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengambil tindakan tegas termasuk penggantungan seumur hidup terhadap mana-mana pemain yang didapati bersalah berhubung isu rasuah atau mengatur perlawanan.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pihaknya akan menggunakan undang-undang sedia ada yang termaktub dalam peraturan FAM dalam mengambil tindakan terhadap pemain yang terlibat.

"Kita ada tindakan kita. Kalau mana-mana pemain kita ada prosedur. Mana-mana (pemain) yang disabit kesalahan, mengatur perlawanan akan digantung seumur hidup. Tak perlu nak spekulasi, benda tu dah ada dalam peraturan FAM.Kita perlu lihat (isu bola sepak Sarawak) telah masuk pihak berkuasa ambil tindakan. Jika itu keputusannya kita kena akur," katanya kepada pemberita selepas melawat bekas pemain bola sepak skuad Olimpik negara, V. Krishnasamy di Pusat Arumperumjothi Vallaral, di sini pada Isnin.

Pada 21 Februari lepas, Mahkamah Majistret Kuching membebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dua pemain Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dan seorang lelaki  disyaki  ‘bookie', yang sebelum ini ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes mengatur perlawanan Liga Premier.

FAS sebelum ini menerima laporan mengenai ada pemain yang terbabit dengan kegiatan mengatur perlawanan, selepas Sarawak tumpas 2-3 menentang Felcra FC pada 10 Februari lepas, walaupun pada separuh masa pertama Sarawak sudah mendahului dengan jaringan 2-0.

Hamidin berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM dan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terhadap kes itu.

"Kita kena faham FAM ni ada Jawatankuasa Integriti dan Jawatankuasa Keselamatan. Kita ada sampai satu tahap yang dibenarkan iaitu apabila pasukan buat laporan kepada SPRM dan polis, kita perlu serah kepada pihak berkuasa ini.Kita tak boleh ada spekulasi, kalau sekarang ini (keputusan) kata dia dibebaskan maka dia dibebaskanlah. Saya ingat semua pihak perlu akur dengan ini sama ada persatuan mahupun penyokong. Selebihnya adalah kuasa pihak berkuasa kita perlu mematuhi," katanya.

Sementara itu, Krishnasamy, 70, yang menghidap diabetes sejak enam tahun lalu berharap dapat bertemu dengan rakan-rakan sepasukannya sewaktu zaman kegemilangan bola sepak pada tahun 1972.

"Kalau boleh saya nak berkumpul dengan rakan-rakan sepasukan terdahulu dan jalan 10 minit atas padang pun seronok. Dulu ada buat perjumpaan, tapi 10 tahun kebelakangan ini tak ada. Sudah lama saya tidak bertemu dengan mereka," katanya.

Beliau yang beraksi di sukan Olimpik 1972 kini menginap di Pusat Arumperumjothi Vallaral dan menerima rawatan di pusat jagaan dan perubatan homeopati swasta itu di Batu Maung di sini.- Bernama

Tags / Kata Kunci: Datuk Hamidin , FAM
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan