JDT Kembali Raih Kemenangan Aksi Liga Super - Bola Sepak | mStar

JDT Kembali Raih Kemenangan Aksi Liga Super

Diterbitkan: Ahad, 25 Februari 2018 7:25 AM

Pemain JDT Luciano Gabriel Figueroa menanduk sambil dicabar pemain Melaka United Khair Muhammad Jefri Jones pada perlawanan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin. - Bernama

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) melonjak ke tangga teratas liga selepas menang bergaya 3-0 ke atas Melaka United (MU) pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Sabtu malam.

Kemenangan mudah itu menyaksikan skuad Harimau Selatan itu memintas pendahulu liga Terengganu FC dengan kelebihan satu mata selepas mengumpul sembilan mata daripada empat perlawanan.

Pada aksi di Larkin, JDT membuka tirai jaringan pada minit ke-12 menerusi penyerang import dari Argentina, Luciano Figueroa, yang menanduk bola menewaskan penjaga gol MU, Zamir Selamat, selepas menerima hantaran sepakan sudut kapten Safiq Rahim.

JDT terus menambah derita pasukan MU pada minit ke-21 apabila Jorge Pereya Diaz merembat kencang dari luar kotak penalti selepas menerima bola umpanan tepat dari Figueroa untuk meneawaskan Zamir bagi kedudukan 2-0.

JDT, di bawah bimbingan Ulisses Morais, mengesahkan mata penuh selepas Natxo Insa, yang tidak dikawal, melakukan rembatan bola leret tepat ke penjuru kanan pintu gol MU pada minit ke-35.

Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, penyerang Liberia, Francis Forkey Doe muncul wira pasukan Pahang apabila meledak dua gol untuk membantu mengalahkan bekas pasukannya, Selangor, 3-1.

Pada aksi berkenaan, penyerang import dari Brazil, Patrick Cruz membuka tirai jaringan pada minit ketujuh pada penampilan pertamanya bersama Pahang sebelum Doe menyempurnakan gol kedua menerusi sepakan penalti pada minit ke-48 dan gol padang pada minit ke-71.

Gol sagu hati Selangor dihadiahkan oleh pemain import dari Sepanyol, Ruffino Segovia, hasil sepakan penalti pada minit ke-38.

Di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bahru, Kelantan akhirnya menamatkan badi kekalahan selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Perak 3-2.

Penyerang import dari Korea Selatan, Do Dong-Hyun muncul wira skuad ‘The Red Warriors' setelah meledak jaringan hatrik pada minit ke-67, 76 dan minit ke-87 untuk membolehkan pasukan Pantai Timur itu meraih kemenangan pertama dalam empat perlawanan.

Gol pasukan Perak dijaringkan oleh Mohd Norhakim Hassan pada minit ke-21 dan pemain import dari Brazil, Wander Luiz Jr pada minit ke-68.

Dua lagi aksi Liga Super akan berlangsung Ahad melibatkan pertemuan di antara wakil Perak, PKNP FC dan Kuala Lumpur di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan dan perlawanan PKNS FC dan Kedah di Stadium Shah Alam. - Bernama

Tags / Kata Kunci: JDT
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan