Lima Import Kedah Siap Sedia - Bola Sepak | mStar

Lima Import Kedah Siap Sedia

Diterbitkan: Ahad, 25 Februari 2018 1:16 PM

(Ubah saiz teks)

PENGENDALI Kedah, Ramon Marcote akhirnya dapat membariskan kesebelasan utamanya pada perlawanan keempat Liga Super bertemu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS),di Stadium Shah Alam malam ini.

Kesebelasan utama yang dimaksudkan ialah lima pemain import termasuk pertahanan baru yang menjadi pilihan Marcote selepas dilantik sebagai jurulatih Kedah.

Alvaro Silva yang merupakan pemain pertahanan berpengalaman terpaksa direhatkan selepas mengalami kecederaan ketika perlawanan pramusim.

Bagaimanapun pemain warga Sepanyol dan Filipina itu kini  kembali cergas dan sedia untuk diturunkan untuk berdepan PKNS yang pasti ingin kembali sebagai pendahulu liga.

Marcote memberitahu, dia kini dapat menurunkan semua pemain import iaitu, Liridon Krasniqi, Sandro Da Silva, Andik Vermansyah, Pablo Pallares dan Alvaro dalam misi tiga mata di Shah Alam.

“Alvaro yang tidak beraksi sejak Liga Super bermula  kini sudah berjaya mengatasi kecederaan di bahagian pahanya dan mampu beraksi ketika kita bertemu PKNS malam ini.

“Liridon yang menjalani pergantungan satu perlawanan kerana menerima kad merah ketika Kedah bertemu Perak di Stadium Darul Aman juga akan kembali.

“Kehadiran Andik yang berasal dari Indonesia dan berjaya memberi nafas baru kepada prestasi pasukan juga akan dapat membantu membentuk satu permainan lebih baik.

“Selain itu barisan pemain tempatan seperti Syazwan Zainon, Amirul Hisyam Awang Kecik, Zafuan Azeman dan Baddrol Bakhtiar juga telah pulih dan akan memantapkan lagi Kedah untuk perlawanan ini," katanya kepada mStar Online.

Marcote berkata, dia sedar bukan mudah untuk menewaskan PKNS yang merupakan sebuah pasukan terbaik setakat ini, namun itu juga bukan alasan untuk Kedah pulang hampa.

“Barisan pemain sudah tahu apa yang perlu dilakukan  dan mereka perlu mematuhi segala perancang dan terus mengekalkan semangat juang dan kemahuan tinggi untuk mencapai kemenangan.

“Mereka juga tahu tidak ada perlawanan yang mudah kecuali usaha dan kerja keras daripada kesemua pemain yang beraksi dan saya hanya akan menamakan barisan pemain terbaik ketika menjalani latihan untuk berdepan cabaran PKNS,” jelasnya.




 
Tags / Kata Kunci: Marcote , Kedah
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan