Negeri Sembilan Tewas Tipis Kepada Terengganu - Bola Sepak | mStar

Negeri Sembilan Tewas Tipis Kepada Terengganu

Diterbitkan: Sabtu, 24 Februari 2018 7:34 AM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Negeri Sembilan mencatatkan kekalahan ketiga dalam perlawanan  keempat  Liga Super musim ini, dibenam 1-2 oleh Terengganu FC dalam pertemuan di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi pada aksi Jumaat malam.

Gol Terengganu FC dijaringkan Mohamad Ashari Samsudin pada minit ke-13 separuh masa pertama dan Junhyeab Lee pada minit ke-83 manakala gol pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Muhammad Fakrul Aiman Sidin pada minit ke-73.

Babak pertama perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan saling mengasak memburu gol pendahuluan dengan kubu pasukan Negeri Sembilan kerap kali menerima asakan daripada jentera serangan skuad Penyu.

Serangan anak buah jurulatih Irfan Bakti Abdul Salim membuahkan hasil dengan Mohamad Ashari bijak menghidu peluang membolos gawang tuan rumah hasil hantaran daripada ketua pasukan Tchetce Hermann Brice Kipre menewaskan penjaga gol skuad Rusa, Muhamad Ilham Amirullah.

Tersentak dengan gol pembukaan pasukan lawan, pasukan bimbingan Jorg Peter Steinnebrunner bangkit untuk menyamakan kedudukan yang direalisasikan  oleh Muhammad Fakrul Aiman hasil hantaran ketua pasukan Kim Do Heon.

Tujuh minit sebelum perlawanan tamat, Terengganu FC membuktikan kekuatannya berjaya  membolos gawang  Skuad Rusa untuk gol kedua mereka menerusi jaringan Junhyeab Lee.

Keputusan kekal 2-1 hingga wisel tamat permainan dibunyikan.-Bernama

Tags / Kata Kunci: Liga Super , Negeri Sembilan
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan