Bawa Pulang Satu Mata Memadai - Bola Sepak | mStar

Bawa Pulang Satu Mata Memadai

Diterbitkan: Rabu, 21 Februari 2018 3:19 PM

Devan (baju kuning) mahu anak buahnya kekal fokus dan beri komitmen 100 peratus sepanjang 90 minit permainan. - Facebook Mifa

(Ubah saiz teks)

TIDAK banyak yang diharapkan oleh K. Devan ketika Persatuan Bola Sepak India Malaysia (Mifa) bertemu Felcra FC pada aksi Liga Perdana di Stadium Shah Alam, Jumaat ini.

Sambil menyifatkan lawannya itu sebagai antara pasukan terbaik, pengendali berusia 56 tahun itu mengakui berpuas hati seandainya berjaya membawa pulang satu mata.

"Berdepan Felcra bukan tugas mudah kerana mereka boleh dianggap antara pencabar terkuat selain mempunyai kekuatan tersendiri yang tidak boleh dipandang rendah.

"Malah, selepas menamatkan tiga perlawanan, mereka juga antara pasukan yang belum lagi tewas.

“Oleh itu, kami perlu membuat persiapan lebih rapi bagi memastikan hasrat mengutip sekurang-kurangnya satu mata dapat dicapai," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, Rabu.

Begitupun, Devan yakin anak buahnya mampu mengulangi aksi cemerlang selepas berjaya menewaskan Terengganu FC II 1-0 di laman sendiri pada 9 Februari lalu.

“Selepas berehat hampir 10 hari, banyak kelemahan yang telah saya baiki selain itu tahap kecergasan dan keserasian pemain juga semakin bertambah baik.

"Apa pun, mereka tidak boleh terlalu yakin untuk menewaskan Felcra yang memiliki barisan pemain termasuk import yang perlu diawasi.

“Apa yang saya harapkan pemain dapat kekal fokus dan berikan komitmen 100 peratus sepanjang permainan kerana saingan di Stadium Shah Alam nanti amat berbeza dan mereka juga perlu lebih berhati-hati supaya tidak melakukan sebarang kesilapan mudah yang boleh mengganggu rentak pasukan,” katanya lagi.

Tags / Kata Kunci: Mifa
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan