Proses Pengambilalihan Punca Kuantan FA Gagal Lengkapkan Dokumen - Bola Sepak | mStar

Proses Pengambilalihan Punca Kuantan FA Gagal Lengkapkan Dokumen

Diterbitkan: Selasa, 20 Februari 2018 9:17 PM

Marcerra United bukan sekadar mengurus skuad bola sepak Liga Premier yang bersaing atas nama Marcerra Kuantan FA, tetapi diberikan hak bagi mengambil alih keseluruhan kelab itu. - Gambar hiasan/Facebook Kuantan FA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Proses pengambilalihan yang belum selesai antara pengurusan baharu dan pengurusan terdahulu menjadi punca pasukan Liga Premier, Kuantan FA gagal melengkapkan dokumen pendaftaran pasukan yang tamat pada 3 Feb lepas.

Presiden Marcerra United, Datuk Seri Dr Feardaus Khairuddin berkata pihaknya boleh menyelesaikan proses pendaftaran pasukan selain isu tertunggak pemain pasukan berkenaan sekiranya pengurusan terdahulu melaksanakan beberapa langkah segera dalam mematuhi terma dan syarat awalan yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Beliau mendakwa Marcerra United bukan sekadar mengurus skuad bola sepak Liga Premier yang bersaing atas nama Marcerra Kuantan FA, tetapi diberikan hak bagi mengambil alih keseluruhan kelab berkenaan.

"Sebab itu Marcerra United masih menunggu Kuantan FA untuk memenuhi beberapa syarat dalam proses pengambilalihan termasuk pengesahan hutang-hutang dan liabiliti tertunggak yang perlu disahkan dengan laporan audit tahunan yang diakui dan mendapat kelulusan daripada FAM, FMLLP dan Pesuruhjaya Sukan," katanya dalam kenyataan, Selasa.

Untuk rekod, Marcerra United FC, menerusi sebuah syarikat khas atau ‘special purpose vehicle' milik Feardaus, mengambil alih skuad Kuantan FA dengan persetujuan melunaskan semua hutang-piutang kelab itu yang berjumlah RM3.5 juta.

Jumlah kos pengambilalihan membabitkan pelupusan hutang Kuantan FA dalam bentuk gaji pemain tempatan dan tenaga asing, serta caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).  

Dalam kenyataan berasingan, Presiden kelab PKNS FC, Siti Zubaidah Abdul Jabar berkata pihaknya memohon maaf kepada FMLLP kerana kegagalan pengurusan pasukan berkenaan melengkapkan dokumen pendaftaran pasukan sebelum tarikh akhir pada 3 Feb lepas.

Siti Zubaidah menegaskan pasukannya mengambil iktibar berkenaan isu itu, terutamanya dalam meningkatkan kecekapan  pengurusan pasukan tersebut pada masa akan datang.

"Apa jua pembaharuan yang direncanakan FMLLP sentiasa disambut baik, dan kita menghormati FMLLP yang mempunyai Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan," jelas Siti Zubaidah.

FMLLP dalam laman Facebooknya semalam, mendedahkan PKNS FC menghantar dokumen pendaftaran pasukan pada 19 Feb lepas manakala Kuantan  FA gagal melengkapkan dokumen berkenaan. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Kuantan FA
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan