TMJ Tolak Tindakan Potong Mata Pasukan - Bola Sepak | mStar

TMJ Tolak Tindakan Potong Mata Pasukan

Diterbitkan: Isnin, 19 Februari 2018 5:53 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pihak Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) disarankan supaya tidak mengambil tindakan atau memotong mata pasukan yang tidak melengkapkan dokumen pendaftaran pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, FMLLP seharusnya membiarkan sahaja pasukan terbabit terus bertanding dalam saingan berkenaan.

"Saya memahami tindakan FMLLP ini adalah untuk memastikan liga ini berjalan secara profesional dan mahu menunjukkan kepada penaja yang terdapat permintaan tinggi untuk menjadikan liga ini profesional.

"Bagaimanapun saya tidak bersetuju dengan tindakan tersebut kerana ia akan mewujudkan spekulasi daripada mereka yang kurang bijak dan mengatakan saya atau Kelab Bolasepak JDT ingin mensabotaj pasukan-pasukan lain yang sedang berada di puncak liga kononnya," kata beliau.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers pada petang Isnin.

Jelas Tunku Mahkota Johor, tindakan tidak memotong mata pasukan tersebut membolehkan penaja yang telah mengeluarkan ratusan juta ringgit melihat sendiri punca Liga Malaysia tidak boleh berkembang.

"Bukan sahaja mengenai persatuan yang tidak profesional tetapi juga mentaliti penyokong bola sepak tanah air.

"Walaupun maklumat, susur masa, penerangan berkaitan cara keputusan dibuat dan dokumen yang diperlukan telah dikongsikan oleh pihak FMLLP, tetapi penyokong bola sepak tanah air masih tidak faham lagi," katanya sambil menambah beliau hanya boleh mengucapkan selamat maju jaya.

Memetik laporan portal Semuanya Bola pada Jumaat, empat pasukan Liga Super berada dalam bahaya kerana bakal berdepan hukuman pemotongan mata.

Pasukan tersebut juga berdepan kemungkinan tidak dibenarkan membuat pertukaran pemain pada jendela perpindahan kedua nanti kerana kegagalan melengkapkan beberapa dokumen pendaftaran pasukan.

Tags / Kata Kunci: FMLLP , FAM , TMJ
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan