FAM Tunggu Keputusan Ujian Sampel B Penjaga Gol Muda Negara - Bola Sepak | mStar

FAM Tunggu Keputusan Ujian Sampel B Penjaga Gol Muda Negara

Diterbitkan: Selasa, 13 Februari 2018 1:34 PM

Gambar hiasan

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pemain Bawah 23 Tahun negara, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed menjalani ujian sampel B kes doping pada Isnin.

Pemain skuad Negeri Sembilan itu gagal ujian sampel A yang dilakukan ketika  Kejuaraan B-23 AFC 2018 di Changshu, China pada Januari lalu.

Menurut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Ahmad Syihan, 22, secara rawak dipilih untuk menjalani ujian doping selepas perlawanan pertama Kumpulan C bertemu Iraq di Stadium Changshu pada 10 Januari 2018.

Ahmad Syihan tidak beraksi langsung sepanjang kejohanan kerana ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee telah menurunkan Ifwat Akmal Chek Kassim pada perlawanan bertemu Iraq itu dan seorang lagi penjaga gol, Haziq Nadzli pada tiga perlawanan berikutnya sehingga Malaysia tewas 2-1 kepada Korea Selatan pada suku akhir.


"Pada 6 Februari 2018, FAM telah menerima surat daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang menyatakan bahawa Syihan didapati positif metabolite methandienone, sejenis bahan larangan dalam senarai Agensi Anti-Doping Dunia (Wada) dalam ujian sampel A yang diambil pada 10 Januari 2018.

"Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC telah memutuskan bahawa Syihan bersalah melanggar Artikel 6 Peraturan Anti-Doping AFC dan dikenakan penggantungan sementara selama 60 hari daripada mengambil bahagian dalam segala aktiviti bola sepak termasuk perlawanan domestik, perlawanan persahabatan dan perlawanan rasmi," jelas Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, Ahmad Syihan telah dilarang beraksi bersama pasukannya Negeri Sembilan berkuat kuasa serta merta.

"Bermula perlawanan kedua Liga Super 2018 bertemu Kuala Lumpur di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Rabu lalu (7 Februari 2018) biarpun dia telah turun beraksi pada perlawanan pertama bertemu PKNP FC pada 3 Februari lalu.

"Ahmad Syihan telah memohon supaya sampel B diuji dan ia telah pun dibuat semalam (Isnin)," katanya.

AFC akan mengambil tindakan lanjut selepas menerima keputusan rasmi ujian sampel B berkenaan dan buat masa ini, Syihan tidak dibenarkan beraksi bersama Negeri Sembilan sepanjang tempoh penggantungannya ini."

Metabolite methandienone adalah bahan untuk mengekalkan prestasi.

Tags / Kata Kunci: Doping , FAM , Ahmad Syihan
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan