Hazard Tak Setuju Chelsea Beli Penyerang - Bola Sepak | mStar

Hazard Tak Setuju Chelsea Beli Penyerang

Diterbitkan: Isnin, 22 Januari 2018 1:09 PM

Eden Hazard. -fotoAFP

(Ubah saiz teks)

PEMAIN tengah Chelsea, Eden Hazard berpandangan kelab itu tidak perlu membeli penyerang baharu pada jendela perpindahan Januari.

Chelsea telah dikaitkan dengan pemain Roma, Edin Dzeko, 31,  Andy Carroll, 29, (West ham) dan pemain Stoke, Peter Crouch, 36.

Tetapi Hazard, 27, menyatakan sokongan kepada pasangan semasa Alvaro Morata dan Michy Batshuayi dengan alasan menyasarkan pemain tinggi mungkin tidak sesuai dengan corak permainan kelab juara Liga Perdana itu.

"Saya rasa kami gembira dengan pasukan yang kami ada. Ia bergantung kepada bagaimana anda mahu bermain," katanya kepada London Evening Standard.

"Kami mempunyai dua penyerang yang sangat baik iaitu Alvaro dan Michy. Jika mereka tidak bersedia bermain, saya boleh bermain sebagai penyerang, jadi saya tidak fikir kami perlu seorang lagi.

"Bola sepak adalah mudah, kawal bola di padang dan cuba bermain seperti yang kami lakukan terhadap Brighton.

"Disebabkan kami kehilangan peluang, ramai yang kata kami memerlukan penyerang lain, tetapi jika kami menjaringkan gol, kami adalah serangan terbaik dalam liga dan tiada siapa akan kata kami memerlukan penyerang."

Chelsea telah menjaringkan 45 gol liga musim ini, sama seperti Arsenal tetapi jumlah itu masih kurang dengan enam pasukan teratas Liga Perdana.

Mereka berada dalam perbincangan lanjut dengan Roma mengenai perjanjian £44 juta untuk mendapatkan penyerang Bosnia Dzeko dan pemain sayap kiri Emerson Palmieri.

Bagaimanapun, pemain dari Belgium ini yang menjaringkan dua gol dalam kemenangan 4-0 pasukannya ke atas Brighton pada Sabtu berkata kemasukan seorang pemain besar dapat memberi impak terhadap gaya permainan mereka.

"Siapakah pasukan terbaik tahun ini? Manchester City. Penyerangnya Gabriel Jesus dan Sergio Aguero, tidak besar," tambah Hazard.

Tags / Kata Kunci: Eden Hazard , penyerang Chelsea

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan