Piala Asia B-23: Kapten Adam Mohon Maaf - Bola Sepak | mStar

Piala Asia B-23: Kapten Adam Mohon Maaf

Diterbitkan: Ahad, 21 Januari 2018 4:47 PM

Adam bersama ketua jurulatih, Kim Swee (kanan). Foto: AFC

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kapten pasukan Piala Asia Bawah 23 Tahun negara, Adam Nor Azlin memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.

Pemain berusia 22 tahun kelahiran Selangor itu meluahkan perasaan terharu dan teruja kerana aksi rakan sepasukan walaupun tewas pada aksi suku akhir kejohanan tersebut, petang Sabtu.

Adam memuat naik video sebelum perlawanan dengan kata-kata semangat kepada rakan-rakan sepasukan di laman Instagram miliknya.


"Alhamdullilah syukur, ini adalah pencapaian paling tinggi dalam karier saya dan bangga dengan rakan sepasukan yang memberi segala apa yang mereka ada.

"Dan ini merupakan kenangan terindah untuk semua.

"Sorry Malaaysia sebab kami tersungkur di peringkat suku akhir.

"InshaAllah ada sinar dihujung jalan," tulis Adam yang juga merupakan pemenang Pemain Muda Harapan Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2017.

Luahan Adam yang itu turut menerima maklum balas daripada penyokong-penyokong bola sepak negara.

Rata-rata mereka menyokong dan memuji skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee ini yang telah menunjukkan aksi terbaik sepanjang kejohanan berlangsung di China itu.

Sebagai rekod, skuad negara mara ke suku akhir Piala Asia B-23 Tahun ini buat kali pertama sekaligus melakar sejarah bola sepak tempatan selepas menewaskan Arab Saudi pada pusingan peringkat kumpulan.

Namun, tuah tidak memihak kepada skuad negara apabila terkandas di tangan naib juara 2016, Korea Selatan dengan keputusan tipis 2-1.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut memuji pencapaian skuad muda kebangsaan ini.

Pemain-pemain negara gembira mara ke suku akhir Piala Asia Bawah 23 Tahun minggu lalu. Foto: AFC

"Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas di atas kejayaan skuad kebangsaan B23 melangkah sehingga peringkat suku akhir dalam Kejuaraan B-23 AFC 2018.

"Walaupun kita berasa kecewa dengan keputusan hari ini, semua pemain dan barisan kejurulatihan patut berasa bangga dengan pencapaian anda semua.

"Anda semua telah berjaya mencipta sejarah untuk mewakili negara sehingga berada di peringkat ini. Sejarah ini tidak akan dapat dilupakan oleh seluruh rakyat Malaysia.

"Keputusan  ini perlu diambil sebagai satu pengajaran untuk meningkatkan lagi ilmu anda pada masa akan datang dan melakukan yang terbaik untuk negara," ujarnya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi FAM.

Tags / Kata Kunci: Piala Asia , B23 , Adam Nor Azlin

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan