Piala Asia B-23: Ledakan Gol Bersejarah Danial Amier - Bola Sepak | mStar

Piala Asia B-23: Ledakan Gol Bersejarah Danial Amier

Diterbitkan: Rabu, 17 Januari 2018 1:18 PM

Daniel ketika aksi menentang Arab Saudi pada Selasa. Foto: AFC

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kejayaan skuad bola sepak Bawah 22 Tahun negara mara ke suku akhir Piala Asia Bawah 23 Tahun masih lagi hangat diperkatakan.

Ia dianggap kejayaan luar biasa skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee apabila bukan sahaja berjaya menewaskan salah satu pasukan gergasi Asia, Arab Saudi tetapi lebih bersejarah buat julung kalinya telah mara ke suku akhir.

Lebih manis penjaring tunggal yang membawa kemenangan itu, Danial Amier Norhisham sendiri masih terkejut dengan aksinya itu.

“Saya memang tidak boleh ‘move on’ lagi dengan kemenangan bermakna ini. Terharu pun ada.

“Tidak jangka akan meledak gol untuk pasukan dan ini adalah hasil daripada kerjasama rakan-rakan pasukan saya.

“Kami bersyukur layak ke suku akhir dan cipta sejarah baharu untuk bola sepak negara,” ujarnya kepada mStar Online.

Foto: Instagram DanielAmier.

Pemain muda Felda United ini mengakui kemenangan ini bertitik tolak daripada tahap disiplin skuad muda negara itu.

“Terima kasih kepada ‘coach’ (Kim Swee), rakan sepasukan, dan seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan agar kami menang.

“Kami berharap kemenangan kali ini tidak terhenti di situ sahaja kerana selepas saingan lebih sengit.

“Kalau boleh mahu menang seterusnya mara ke separuh akhir dan akhir.

“Apa pun, kami akan cuba memberi fokus satu persatu di setiap perlawanan,” ujar Danial, 21.

Sepakan padu Danial ke arah pintu gol Arab Saudi pada minit ke-28 menyaksikan keputusan memihak kepada Malaysia pada aksi di Stadium Kunshan pada Selasa malam.

Malaysia antara enam pasukan yang layak ke suku akhir termasuk Qatar , Uzbekistan, Jepun, Palestin dan Iraq.

Manakala dua lagi slot daripada Kumpulan D yang salah satunya bakal menjadi pencabar skuad negara bagi saingan suku akhir nanti akan ditentukan pada perlawanan petang ini.

Kumpulan D – Korea Selatan, Vietnam, Australia dan Syria.

Tags / Kata Kunci: Danial Amier , B22 , Piala Asia
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan