FAM Minta Selangor Cari Gelanggang Sendiri - Bola Sepak | mStar

FAM Minta Selangor Cari Gelanggang Sendiri

Diterbitkan: Selasa, 16 Januari 2018 8:55 PM

Stadium Nasional Bukit Jalil

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berharap Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dapat mencari gelanggang sendiri dengan segera.

Ia berikutan cadangan FAS untuk menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai 'home venue' bagi saingan Liga Malaysia musim 2018 agak mustahil berdasarkan kemungkinan beberapa perlawanan di venue ini terpaksa dipinda berikutan terdapat jadual acara lain bakal diadakan

Pindaan beberapa perlawanan itu boleh menyebabkan kelancaran jadual tidak seiring seperti yang telah ditetapkan.

"Justeru itu, saya amat berharap agar Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) bertindak segera untuk mencari stadium alternatif lain yang berdekatan contohnya Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras atau Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi untuk dijadikan gelanggang sendiri mereka memandangkan sepak mula saingan Liga Super 2018 sudah semakin hampir iaitu pada 3 Februari ini.

"Saya menyokong sepenuhnya kenyataan Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bahawa adalah mustahil untuk pasukan Selangor menggunakan Stadium Nasional, Bukit Jalil sebagai gelanggang sendiri kerana kita tidak mahu banyak pindaan penjadualan perlawanan terpaksa dibuat.

"Selain itu, Stadium Nasional merupakan gelanggang utama bagi pasukan bola sepak kebangsaan dan adalah tidak wajar gelanggang yang dianggap berkecuali bagi semua pasukan tempatan ini dijadikan gelanggang tuan rumah untuk pasukan tertentu sahaja iaitu dalam kes ini mahu dijadikan gelanggang sendiri buat pasukan Selangor.

"Seperti yang disarankan oleh Tunku Ismail, baginda sedang cuba untuk menaikkan nilai dan meningkatkan pendapatan melalui hak penyiaran kepada semua pasukan.

"Jadi adalah penting untuk setiap pasukan termasuk Selangor perlu memiliki gelanggang sendiri yang sesuai dan dalam hal ini, FAS perlu memainkan peranan bagi menyelesaikan masalah tersebut," jelas Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi FAM pada Selasa.

Musim lalu, Selangor terpaksa menggunakan Stadium Selayang sebagai gelanggang sendiri selepas tidak mendapat kebenaran menggunakan Stadium Shah Alam.

Tags / Kata Kunci: FAM , FAS
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan