AFC B-23: Malaysia Diaibkan Iraq - Bola Sepak | mStar

AFC B-23: Malaysia Diaibkan Iraq

Diterbitkan: Rabu, 10 Januari 2018 7:19 PM

Datuk Ong Kim Swee (kiri) memberi arahan ketika sesi latihan skuad kebangsaan B23 pada persiapan menghadapi Piala AFC di Wisma FAM Disember lalu. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia membuka kempen Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 Tahun (B-23) dengan langkah kiri setelah diaibkan pasukan negara bergolak, Iraq 1-4 pada perlawanan pertama Kumpulan C di Stadium Changshu, China, Rabu.

Kerapuhan di barisan pertahanan menjadi punca utama kekalahan buat anak buah Datuk Ong Kim Swee apabila gawang negara bocor seawal minit kelima menerusi pemain tengah Iraq Mohammed Khalid Jaffal Al-Jumaili yang mudah menanduk masuk hasil hantaran lintang rakan sepasukan.

Ketika skuad negara masih mencari rentak untuk mengimbangi perlawanan, Amjed Attwan Kadhim pula menghukum benteng negara yang gagal mengeluarkan bola ke kawasan selamat selepas berjaya mencuri dan melepaskan rembatan pada minit ke-28 untuk Iraq mendahului 2-0 sehingga tamat babak pertama.

Pada babak kedua, tidak banyak perubahan yang berjaya dilakukan pemain negara sebaliknya Alaa Ali Mhawi bijak mencuri peluang dengan memperdaya dua pemain pertahanan negara sebelum melakukan rembatan lencong menewaskan penjaga gol negara, Mohd Ifwat Akmal pada minit ke-57.

Ketinggalan 0-3 memaksa Kim Swee melakukan dua pertukaran dengan memasukan Muhammad Akhyar Abdul Rashid bagi menggantikan N. Thanabalan dan Muhammad Jafri Muhd Firdaus Chew digantikan dengan R. Kogileswaran.

Percaturan itu berjaya mengubah sedikit rentak jentera serangan negara apabila gerakan yang dimulakan Akhyar berjaya disudahkan oleh Muhammad Safawi Rasid untuk jaringan sagu hati negara pada minit ke-79.

Namun kebangkitan pasukan negara pantas dinafikan Iraq apabila menambah jaringan menerusi Hussein Al-Saedi pada minit ke-81.

Malaysia akan menentang Jordan, Sabtu ini dan Arab Saudi, Selasa depan.

-Bernama
Tags / Kata Kunci: Piala AFC , skuad B-23 , Ong Kim Swee
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan