‘Mat Don’ Sah Ke Liga Perancis? - Bola Sepak | mStar

‘Mat Don’ Sah Ke Liga Perancis?

Diterbitkan: Ahad, 7 Januari 2018 10:07 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Lebih kurang sebulan merangkul gelaran Pemain Import Terbaik Kebangsaan serta meluahkan perasaan untuk bersama Kedah, Liridon Krasniqi dilapor bakal meninggalkan pasukan tersebut.

Pemain berusia 25 tahun yang lebih mesra dipanggil ‘Mat Don’ disahkan telah mengikuti sesi pemilihan bersama kelab Ligue 1 Perancis, Angers minggu ini.

Laporan itu  turut diakui ketua  jurulatih Lang Merah, Marco Marcote.

Marcote yang kini bersama skuad Kedah berada di Surabaya, Indonesia bagi mengharungi Piala Super Suramasu bermula 8-12 Januari ini yakin pemain itu akan bersama dengannya pada aksi ini.

“Beliau akan menyertai pasukan di Surabaya, apa yang saya tahu dia masih pemain Kedah.

“Kita gembira beliau mendapat tawaran. Jika itu peluang untuk diuji bersama kelab dari liga terbaik dunia, kami ucapkan selamat maju jaya di masa hadapan.

“Tetapi buat masa ini beliau masih ada kontrak dengan Kedah,” ujarnya di laman Facebook rasmi Persatuan Bola Sepak Kedah pada Ahad.

Sebelum ini Mat Don meluahkan dia tidak sabar untuk mengharungi saingan Liga Malaysia bersama Kedah bagi musim 2018, lebih-lebih lagi selepas kembalinya Marcote ke Alor Setar.

Mat Don juga memenangi dua trofi termasuk Pemain Paling Popular Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK2017), Disember lalu.

Sekiranya benar Mat Don akan berpindah, ia memaksa Marcote mengintai pengganti untuk kuota antarabangsa bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain kelahiran Kosovo itu.

Tags / Kata Kunci: Lirodon Krasniqi , Marco Marcote , Kedah
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan