Kedah Agresif Ikat Pemain Sepanyol - Bola Sepak | mStar

Kedah Agresif Ikat Pemain Sepanyol

Diterbitkan: Isnin, 1 Januari 2018 1:46 PM

Pallares tiba di Alor Setar pada Ahad malam. Foto kredit: KFA

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pasukan Kedah agresif dalam persiapan menjelang Liga Malaysia 2018.

Sejak kembalinya Marco Marcote ke Kedah, kelihatan beberapa muka baharu mula diisi bagi kuota pemain import.

Terbaharu, menyaksikan seorang pemain kelahiran Gandia, Sepanyol, Pablo Pallares berjaya menarik minat Marcote untuk diisi dalam slot pemain antarabangsa.

Ketibaan Pallares diumumkan di laman Facebook rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (KFA).

Menurut Marcote, dia mula memantau pemain berusia 30 tahun ini sejak dua hingga tiga musim lalu dan pemilihan Pallares dianggap sesuai dengan tahap kualiti bola sepak di Malaysia, selain mengikut acuan taktikal yang bakal menjadi senjata utama skuad Hijau Kuning.

Bekas pemain Sociedad Deportiva Ponferradina itu tiba di Alor Setar pada Ahad malam dan bakal menjalani pemeriksaan perubatan.


Sekiranya semua berjalan lancar, perbincangan kontrak bersama KFA diselesaikan sebelum skuad Lang Merah bertolak ke Surabaya.

Marcote yang dilantik mengemudikan skuad Kedah musim ini kini masih mencari seorang lagi pemain import bagi kuota Asean selepas Khamis lalu mengikat Alvaro Silva juga dari Sepanyol.

Silva dan Pallares bakal bergandingan dengan dua lagi pemain import lama Liridon Krisniqo dan Sandro da Silva.

Pasukan Kedah bakal beraksi pada Piala Super Suramadu dari 8 hingga 12 Januari ini.

Kejohanan empat penjuru itu yang dijadualkan berlangsung di Stadium Gelora Bengkalan, Jawa Timur akan turut disertai dua kelab Liga 1 Indonesia iaitu Madura United, Persela Lamongan selain Persebaya yang beraksi dalam Liga 2 Indonesia.

KFA turut memaklumkan skuad Lang Merah akan meneruskan persediaan pramusim dengan berdepan kelab Liga Perdana, PKNP FC pada aksi persahabatan di Stadium Mini Universiti Utara Malaysia, Sintok pada 17 Januari ini.

Mereka kemudiannya akan menyertai Kejohanan Bola Sepak Tiga Penjuru di Sabah yang turut melibatkan pasukan Sabah dan wakil Brunei, DPMM FC dari 19 hingga 21 Januari.

Tags / Kata Kunci: Pablo Pallares
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan