Sathianathan Tekad Bantu Felda United Kembali Ke Liga Super - Bola Sepak | mStar

Sathianathan Tekad Bantu Felda United Kembali Ke Liga Super

Diterbitkan: Sabtu, 23 Disember 2017 10:18 AM

B. Sathianathan.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pemenang anugerah Jurulatih Terbaik 2017, B. Sathianathan menyasarkan untuk membantu Felda United kembali beraksi dalam saingan Liga Super 2019 selepas tersingkir ke saingan Liga Perdana 2018.

Bekas pengendali skuad senior kebangsaan yang meraih anugerah tersebut pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2017 (ABK 2017) itu yakin sasaran tersebut mampu dicapai sekiranya pemain skuad 'The Fighters' menerapkan mentaliti positif dalam setiap perlawanan Liga Perdana yang akan diharungi pada musim depan.

"Saya sebenarnya tidak percaya dapat memenangi anugerah ini dan saya ingin berterima kasih kepada isteri, anak saya serta pengurusan Felda United serta pemain yang banyak bertungkus lumus untuk mencapai keputusan positif dalam saingan Liga Malaysia, musim ini.

"Saya sebenarnya amat berbangga kerana pasukan Felda United bangkit daripada kelompok bawahan Liga Super dan berjaya meraih kelompok tiga terbaik pada musim ini dan saya harap dapat melakukan perkara sama dalam Liga Perdana, musim depan," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis anugerah tersebut, di sini malam Jumaat.

Sathianathan yang pernah memenangi anugerah sama pada 2010 dan 2012, bagamanapun mengakui masih terdapat banyak perkara yang mahu dicapai dalam bidang kejurulatihan yang diceburinya sejak sekian lama.

Beliau juga pernah mengendalikan beberapa pasukan tempatan seperti Kelantan dan Angkatan Tentera Malaysia selain skuad Bawah 23 tahun kebangsaan.

Felda United tersingkir ke saingan Liga Perdana 2018 walaupun menduduki tangga ketiga Liga Super musim ini, setelah gagal mendapatkan lesen kelab daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: B. Sathianathan , Felda United
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan