FAM Tunggu Piala Dunia 2018 Laksana Teknologi VAR - Bola Sepak | mStar

FAM Tunggu Piala Dunia 2018 Laksana Teknologi VAR

Diterbitkan: Jumaat, 22 Disember 2017 4:30 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menunggu sehingga tamat Piala Dunia 2018 sebelum melaksanakan penggunaan sistem teknologi video bantuan pengadil (VAR) dalam saingan Liga Malaysia.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata ia bertujuan mendapatkan penilaian serta laporan terperinci daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengenai keberkesanan penggunaan sistem tersebut.

"Setelah berbincang dengan Tunku Presiden (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) bersama Jawatankuasa Pengadil FAM, kita akan menunggu selepas Piala Dunia 2018 untuk melihat dan mendapatkan maklum balas daripada FIFA serta AFC.

"Sekiranya maklum balas diterima positif dan menyenangkan semua pihak serta dapat menaikkan lagi taraf mutu pengadilan di Malaysia, kita mungkin akan melaksanakannya nanti," katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Pengadil FAM di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya di sini, Khamis.

Sebelum ini, FAM merancang memperkenal sistem VAR pada saingan Liga Super 2018 dengan menjadikan aksi separuh akhir dan final Piala Malaysia 2017 sebagai medan untuk menguji keberkesanan teknologi berkenaan.

VAR adalah satu sistem video bertujuan meningkatkan mutu pengadilan, selain untuk mengurangkan kontroversi berhubung keputusan sesuatu perlawanan dengan membolehkan pengadil melihat dan meneliti semula beberapa insiden di atas padang yang kurang jelas.

Sistem tersebut menumpukan empat perkara - mengesahkan jaringan, menentukan layangan kad merah dan kuning kepada pemain, menentukan pemberian sepakan penalti serta mengelak kesilapan identiti pemain.

Sehingga kini, terdapat beberapa negara sudah mengadaptasikan teknologi berkenaan termasuk Belanda, Jerman, Perancis, Australia dan Qatar, manakala Sepanyol pula dijangka menggunakannya dalam saingan liga tempatan mereka, La Liga bermula musim depan. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: VAR , FAM
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan