Amiridzwan Taj Kembali Perkuat TRW - Bola Sepak | mStar

Amiridzwan Taj Kembali Perkuat TRW

Diterbitkan: Rabu, 20 Disember 2017 12:23 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA BHARU: Pemain pertahanan pasukan PKNS FC Amirizdwan Taj Tajuddin akan kembali menyertai Kelantan bagi memperkuat barisan pertahanan The Red Warriors (TRW) dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Bibi Ramjani Ilias Khan berkata pihaknya bersetuju mendapatkan kembali khidmat pemain terbabit yang sebelum ini pernah menyertai Kelantan pada musim 2015 bagi memantapkan lagi benteng pertahanan pasukan itu.

"Selepas proses penilaian dan ujian kecergasan, barisan kejurulatihan mempunyai minat terhadap corak pemainan dan pengalaman yang dimiliki oleh pemain berusia 31 tahun tersebut," katanya.

Amirizdwan yang dilahirkan di Kota Bharu, berhijrah dari Kelantan ke Terengganu pada 2016 sebelum menyertai PKNS FC pada tahun ini.

Bibi berkata pihaknya bersetuju menandatangani kontrak bersama pemain itu selama satu musim untuk digandingkan dengan pemain import Cassio Francisco De Jessus di posisi pertahanan tengah.

Sementara itu Amirizdwan Taj berkata beliau teruja kerana barisan pengurusan baharu KAFA memberi peluang dan kepercayaan kepadanya untuk kembali berbakti kepada negeri kelahirannya.

"Peluang dan kepercayaan yang diberikan ini perlu saya balas dengan memberikan komitmen tinggi dan terbaik, bagaimanapun persaingan untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama saya serahkan kepada jurulatih.

"Saya akui pemain muda Kelantan mempunyai kualiti cuma yang membezakan adalah dari segi pengalaman,” katanya, menambah sudah bersedia untuk merebut tempat dalam pasukan utama. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: TRW , Amirizdwan Taj
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan