Limak Jimar Tak Penuhi Syarat - Bola Sepak | mStar

Limak Jimar Tak Penuhi Syarat

Diterbitkan: Isnin, 18 Disember 2017 2:40 PM

Limak Jimar (kanan) dan Zaidi hadir sesi pemilihan untuk skuad Piala Presiden 2018 di padang Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) Pengkalan Chepa.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA:  Harapan pemain bola sepak Orang Asli, Muhammad Nasri Mamat atau Limak Jimar untuk memperkuat skuad Piala Presiden Kelantan musim 2018 tidak kesampaian apabila dia terpaksa pulang lebih awal.

Ketua Jurulatih Skuad Piala Presiden Kelantan Zahasmi Ismail mengakui pemain dari Gua Musang itu sememangnya berbakat tetapi tidak terpilih atas faktor usia.

"Dia ada bakat, hebat dalam mengelecek dan menimbang bola tapi tidak memenuhi syarat untuk bermain dalam skuad Piala Presiden.

"Untuk skuad ini, kita nak yang berusia 21 tahun. Namun dia sudah terlebih umur, tahun depan dia dah 23 tahun. Jadi kita terpaksa gugurkan dia," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Sebelum ini, Limak Jimar menjadi tular di aplikasi WhatsApp apabila kemahirannya menimbang bola dan mengelecek menarik perhatian Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk menguji kemampuan pemain berkenaan.

Menurut Zahasmi, meskipun Limak Jimar mempunyai kelebihan dalam menimbang bola, dia sebenarnya masih belum dapat menyesuaikan diri dengan perlawanan sebenar.

"Pada pendapat saya, kebolehan timbang bola dia mungkin lebih baik daripada individu lain tapi tak semestinya dia boleh menyesuaikan diri dengan perlawanan sebenar.

"Pertunjukan (timbang bola) berbeza dengan perlawanan sebenar," katanya.

Limak Jimar (kanan) dan Zaidi sempat bertemu dengan Bibi sebelum berangkat pulang ke Pos Lebir, Gua Musang, pagi Isnin.

Mengenai seorang lagi pemain Orang Asli, Zaidi Rashid yang turut dipanggil untuk menjalani sesi pemilihan tersebut, Zahasmi berkata dia masih memerlukan banyak pendedahan beraksi dalam perlawanan sebenar.

"Dia penuhi syarat untuk pemilihan ini tetapi masih belum mencapai standard yang kita mahukan. Bukan dia tak bagus tapi belum cukup pendedahan. Dia kena banyak bermain dalam perlawanan sebenar.

"Ore Kelantan cakap tok takuk kokram... dia tak endah apa orang buat, orang langgar ke... dia main redah je. Jadi saya rasa kalau dia diberi pendedahan yang betul mungkin dia boleh jadi seorang pemain yang hebat," katanya.

Zahasmi berkata pemilihan pemain skuad Piala Presiden perlu dilakukan secara teliti kerana mereka adalah pelapis untuk Liga Super.

"Piala Presiden bukan medan untuk cuba-cuba, ini satu langkah (pemain) untuk ke Liga Super. Jadi kita memerlukan pemain berkaliber untuk mengisi kekurangan dalam Liga Super," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan mengesahkan Zaidi juga tidak terpilih kerana dia masih ada sifat 'malu-malu' ketika di atas padang selain saiz tubuhnya yang kecil.

"Jadi kita buat keputusan untuk gugurkan dia. Kita mahukan pemain yang berkaliber dan benar-benar berbakat.

"Mesikpun tidak terpilih, kita berterima kasih kepada Zaidi dan juga Limak Jimar kerana sanggup datang ke sesi pemilihan kali ini," katanya.

Tags / Kata Kunci: Limak Jimar , Piala Presiden Kelantan
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan