Liga Super 2018, Titik Mula Transformasi Skuad Rusa - Bola Sepak | mStar

Liga Super 2018, Titik Mula Transformasi Skuad Rusa

Diterbitkan: Isnin, 11 Disember 2017 10:14 PM

Gambar dari Facebook Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan.

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Kelab e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan (N9Futbol.com) mahu Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) supaya mengambil peluang beraksi pada Liga Super 2018 sebagai titik permulaan transformasi pasukan itu.

Presiden N9Futbol.com, Ahmad Zaini Baharun berkata diharap Skuad Rusa akan menggunakan peluang itu untuk membentuk pasukan mantap dalam memberi saingan terbaik pada Liga Super musim depan.

"Saya yakin PBNS mampu melonjak semula kegemilangan bola sepak negeri ini berdasarkan rekod pencapaian Skuad Rusa yang pernah menjulang kejuaraan Piala Malaysia pada 2009 dan 2011.

"Oleh itu, pengurusan pasukan Skuad Rusa harus memberikan tumpuan kepada usaha meletakkan pasukan selaku pesaing utama dan bukannya sebagai pelengkap jadual. Kami berharap Negeri Sembilan dapat memiliki keupayaan tinggi selaku pencabar utama sama ada dalam saingan Liga Super, Piala FA mahupun Piala Malaysia dan seterusnya menamatkan kempen dengan pencapaian gemilang," katanya dalam kenyataannya di sini, Isnin.

Negeri Sembilan kembali dinaikkan pangkat ke saingan Liga Super musim 2018 selepas pengumuman oleh Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), baru-baru ini.

Negeri Sembilan yang menamatkan saingan di tangga keempat carta Liga Perdana musim ini (2017) bakal beraksi di liga utama bola sepak domestik itu bersama PKNP FC.

Sementara itu, beliau menggesa supaya PBNS telus dalam menyalurkan maklumat mengenai pasukan kepada penyokong.

Katanya perkara utama yang perlu ditambah baik oleh PBNS sudah tentu berhubung penggunaan media sosial secara menyeluruh dalam menyampaikan maklumat terkini mengenai skuad Rusa.

"Kami mahu agar mutu penyampaian maklumat, ulasan perlawanan, video, gambar dan grafik haruslah dipertingkatkan.

Kami mencadangkan PBNS melantik mereka yang berkelayakan dan mempunyai kepakaran dalam mengendalikan media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram termasuk laman web agar setiap maklumat, infografik, gambar serta video yang disediakan adalah berkualiti serta setanding dengan pasukan lain," katanya. - Bernama

Tags / Kata Kunci: PBNS
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan