Jiwa Wan Kuzain Masih Kuat Bersama Swope Park Rangers - Bola Sepak | mStar

Jiwa Wan Kuzain Masih Kuat Bersama Swope Park Rangers

Diterbitkan: Ahad, 10 Disember 2017 12:04 PM

(Ubah saiz teks)

"BELUM ada kelab di Malaysia yang memikat hati saya, " kata pemain berdarah Malaysia yang sedang mencipta nama di Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal.

Menurut Wan Kuzain, walaupun pernah memberitahu pintu untuk mewakili kelab di Malaysia tidak tertutup, namun itu tidak bermakna ada pasukan yang menjadi pilihannya.

Lagipun katanya, dia masih dalam proses membina karier bersama Swope Park Rangers di Amerika Syarikat.

"Sudah tentu Malaysia tetap kebanggaan saya, tapi buat masa ini fokus saya hanyalah untuk terus mengorak langkah bersama Swope Park Rangers.

"Misi saya juga tahun depan adalah untuk memecah masuk ke skuad senior mereka, jadi saya tidak mahu fikir mewakili kelab lain dan belum berminat dengan pasukan di Malaysia," katanya ketika ditemui di Forum Realiti Pembangunan Bola Sepak Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu.

Baru-baru ini, pemain berusia 19 tahun itu memberitahu dirinya tidak pernah menutup peluang bermain di kelab Malaysia mahupun mewakili skuad kebangsaan.

Bagaimanapun dia memerlukan masa antara tiga atau empat tahun untuk membuat keputusan lebih tepat.

Untuk rekod, Wan Kuzain pemain kelahiran Carbondale, Illinois – peraturan badan induk bolasepak dunia, Fifa membenarkan seseorang pemain itu mewakili negara lain sekiranya memiliki hubungan darah dengan negara berkenaan ataupun pernah bermastautin lebih lima tahun di negara itu – dengan syarat dia tidak pernah mewakili pasukan senior negara asalnya. - Sinar Online

Tags / Kata Kunci: Wan Kuzain Wan Kamal
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan