FAM Mahu Wujudkan Taktikal Sama Buat Pasukan Negara - Bola Sepak | mStar

FAM Mahu Wujudkan Taktikal Sama Buat Pasukan Negara

Diterbitkan: Sabtu, 9 Disember 2017 7:25 PM

Tunku Ismail berswafoto bersama para penyokong yang hadir pada sesi bertemu penyokong bola sepak tanah air di sebuah hotel pada Sabtu. Foto: Bernama

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA:  Kesemua  pasukan bola sepak kebangsaan melibatkan skuad Harimau Malaya, B-23, B-19 dan Program Pembangunan Bola Sepak Negara Malaysia (PPBN) bakal mengadaptasi corak permainan dan falsafah yang sama dalam masa terdekat.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata semua jurulatih terlibat - Tan Cheng Hoe (Harimau Malaya), Datuk Ong Kim Swee (B-23), Bojan Hodak (B-19) dan Lim Teong Kim (PPBN) perlu mengikut perancangan dan strategi taktikal yang dirangka Pengarah Teknikal FAM, Peter De Roo.

“Peter akan menganalisis cara permainan yang sesuai dengan fizikal pemain pasukan kita untuk memastikan semua pasukan mempunyai cara permainan sama. Semua jurulatih perlu duduk semeja dengan Peter untuk berbincang mengenai perancangan dan status skuad masing-masing pada setiap minggu,” katanya pada sesi bertemu penyokong di sebuah hotel dekat Subang, Sabtu.

Beliau berkata demikian di hadapan lebih 200 penyokong bola sepak tempatan yang hadir pada sesi dialog santai itu, apabila ditanya tentang setiap pasukan yang mempamerkan corak permainan dan taktikal yang berbeza.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu turut berkata, FAM memandang serius gejala mengatur perlawanan dan rasuah dalam arena bola sepak tanah air, yang memberi kesan negatif terhadap perkembangan sukan berkenaan di negara ini.

Turut dibincangkan pada sesi dialog selama  lebih dua jam itu ialah isu berkaitan bola sepak negara seperti kewujudan ‘feeder club' (kelab pelapis), pengambilan pemain naturalisasi dan penjualan tiket Liga Malaysia secara dalam talian.- Bernama

Tags / Kata Kunci: FAM , Pasukan Kebangsaan
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan