TMJ Dedah Ada Pemain ‘Besar Kepala’ - Bola Sepak | mStar

TMJ Dedah Ada Pemain ‘Besar Kepala’

Diterbitkan: Sabtu, 9 Disember 2017 8:18 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan terdapat pemain yang 'besar kepala' dalam skuad kebangsaan, sehingga menjejaskan prestasi pasukan negara.

Malah,Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu berkata mentaliti pemain terbabit yang merosakkan  prestasi dan masa depan skuad Harimau Malaya, turut bersikap sedemikian dalam pasukan dan kelab beraksi di Liga Malaysia (Liga-M).

"Semua pasukan dalam negara ini lalui perkara yang sama, anda mempunyai beberapa pemain senior yang menentukan kelab berkenaan, jadi tidak kira banyak mana bakat muda disenaraikan dalam skuad senior, sama ada kelab atau negara, mereka akan mempengaruhi kelompok ini.

“Itulah tanggungjawab setiap pasukan kelab dan negeri untuk mengenal pasti individu-individu berkenaan dan berusaha memastikan mereka boleh mengawal keadaan tersebut. Kita perlu merombaknya secara menyeluruh.

"Tidak  guna kalau kita lantik Carlo Ancelotti pun, kalau ada peraturan latihan dia sendiri, terdapat lapan atau sembilan pemain  senior yang mogok, tidak mempunyai mentaliti menang, sampai bila-bila kita tak akan menang. Kita sedang berusaha mengeluarkan liabiliti ini daripada pasukan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco FAM ketiga sesi 2017-2021 di Wisma FAM di Kelana Jaya, Sabtu.

Berikutan itu, beliau berkata tugas utama ketua jurulatih baharu Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe ialah mengubah mentaliti pemain yang mahukan kemenangan dalam setiap perlawanan.-Bernama


Tags / Kata Kunci: TMJ , FAM , Pemain Besar Kepala
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan