Yakult Ikat Perjanjian Dengan FAM - Bola Sepak | mStar

Yakult Ikat Perjanjian Dengan FAM

Diterbitkan: Sabtu, 9 Disember 2017 2:43 PM

Tunku Ismail menerima penajaan daripada Hamada (dua kanan).

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerima suntikan penajaan lumayan bermula Januari 2018.

Badan induk bola sepak negara ini mendapat ‘durian runtuh’ apabila menandatangani perjanjian penajaan dengan Yakult Malaysia yang menyaksikan Yakult menjadi minuman probiotik rasmi FAM selama tiga tahun bermula Januari 2018.

Perjanjian ini telah diumumkan oleh Presiden FAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dan Hiroshi Hamada, Pengarah Urusan Yakult Malaysia di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Sabtu.

Penajaan selama tiga tahun oleh Yakult Malaysia yang bernilai RM3.9 juta itu akan bermula dari Januari 2018 sehingga Disember 2020.

Penajaan ini termasuk tajaan minuman susu kultur probiotik Yakult Ace dan Yakult Ace Light bernilai RM 200,000 setiap tahun.Kerjasama ini juga menyaksikan kali pertama dalam sejarah FAM melantik minuman probiotik rasmi.

Tunku Ismail menyatakan bahawa penajaan ini sangat dialu-alukan dan akan memberi manfaat bukan sahaja kepada FAM tetapi juga kepada pemain-pemain pasukan bola sepak kebangsaan dari segi kesihatan yang diharap dapat meningkatkan prestasi keseluruhan mereka.

“Kami berharap tajaan ini menjadi titik permulaan kerjasama jangka panjang yang membawa manfaat kepada kedua-dua belah pihak, FAM dan juga Yakult Malaysia, dengan matlamat untuk memajukan sukan bola sepak di kalangan peminat-peminat sukan bola sepak di Malaysia di samping menggalakkan gaya hidup sihat,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada berkata: “Kami berbangga dinamakan sebagai minuman probiotik rasmi FAM. Bermula Januari 2018, untuk setiap botol Yakult yang dijual, kami akan menyumbang satu sen kepada FAM.

"Kami berharap semua orang akan bersama-sama kami untuk menyumbang dan memberi sokongan kepada pasukan bola sepak kebangsaan dalam usaha mereka untuk menempa nama di peringkat antarabangsa, seterusnya menggapai impian untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia suatu hari kelak.”

“Kerjasama ini mungkin satu kejutan bagi sesetengah pihak kerana manfaat probiotik untuk kesihatan atlet jarang dipertengahkan."

"Yakult telah dibuktikan melalui kajian saintifik membantu mengurangkan risiko jangkitan selesema di kalangan atlet yang sedang menjalani latihan secara intensif. Ia membantu memperkukuhkan daya ketahanan badan yang menjadi lemah disebabkan oleh tekanan fizikal daripada latihan yang berat.

"Dengan mengurangkan risiko jangkitan penyakit, diharapkan pemain bola sepak kebangsaan kita mampu mengekalkan kesihatan dan kecergasan pada tahap yang optimum agar dapat memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan mereka,” tambahnya.

Tags / Kata Kunci: FAM , Yakult
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan