Gagal Lapor Diri, Syafiq Digugurkan - Kim Swee

Diterbitkan: Selasa, 5 Disember 2017 10:21 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Penyerang Kedah, Syafiq Ahmad digugurkan daripada skuad Bawah 22 Tahun (B-22) kebangsaan ke China, selepas gagal melaporkan diri ke kem latihan pusat bagi menghadapi  Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 2018, Januari depan.

Ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee berkata pengguguran Syafiq itu dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor demi kebaikan pasukan selain memberi peluang kepada pemain berusia 22 tahun itu menguruskan hal perkahwinannya.

“Saya membuat keputusan membenarkan Syafiq menguruskan segala perancangan beliau yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan dan tidak akan memanggil beliau untuk kejohanan kali ini. Kita akan kekal dengan 29 pemain yang bersama pasukan sekarang.

“Keputusan ini dibuat demi kebaikan pasukan dan juga pemain. Kita sudah berlatih hampir 10 hari dan jika saya memanggil Syafiq yang sekarang tidak berada pada tahap kecergasan baik, kita perlu mengadakan satu sesi latihan khas untuk beliau dan saya tidak nampak perkara itu akan berlaku dalam masa singkat,” katanya.

Kim Swee berkata demikian kepada pemberita pada sesi latihan pusat skuad B-22 yang sudah memasuki fasa kedua latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya di sini, hari ini.

Pada masa sama, Kim Swee berkata ketiadaan Syafiq merupakan satu kehilangan besar bagi pasukan, namun menegaskan ia tidak akan menjejaskan persiapan pasukan menjelang kejohanan yang julung kali disertai skuad B-22 negara itu.

Menurut Kim Swee, beberapa pemain sedia ada termasuk dua penyerang skuad Bawah 19 Tahun (B-19), Sean Eugene Selvaraj dan Hadi Fayyadh Abdul Razak memiliki potensi besar untuk menggalas tanggungjawab sebagai penggempur di bahagian serangan.

“Kita mempunyai Sean, Hadi dan ramai lagi yang boleh bermain di posisi yang sama dan ketiadaan Syafiq memang merupakan satu kehilangan, tetapi ia membuka peluang kepada pemain-pemain muda yang sudah bersama kita dan menunjukkan komitmen yang cukup tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Kim Swee mengakui masih belum mempunyai bayangan pemain yang akan dibawa ke China dan hanya akan membuat keputusan selepas membuat penilaian berdasarkan beberapa siri perlawanan persahabatan di dalam dan luar negara.

“Sekarang, peluang masih samar-samar untuk kesemua pemain jadi saya hanya akan menggugurkan tiga pemain sebelum berlepas ke Korea Selatan dan ketika di sana, hanya 23 pemain sahaja yang akan ke China,” katanya.

Skuad B-22 negara dijangka mengadakan perlawanan persahabatan menentang PJ Rangers pada Sabtu ini, diikuti Melaka United 14 Dis sebelum berlepas ke Korea Selatan pada 17 Dis. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Syafiq Ahmad , Skuad B-22

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan