Sah! TRW Ikat S Veenod - Bola Sepak | mStar

Sah! TRW Ikat S Veenod

Diterbitkan: Rabu, 22 November 2017 3:05 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pemain tengah Selangor, S Veenod sah menyarung jersi skuad The Red Warriors (TRW) pada saingan Liga Malaysia 2018.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Bibi Ramjani Ilias Khan berkata pemain berusia 29 tahun itu menandatangani kontrak selama dua tahun bersama TRW.

"Veenod baru sahaja menandatangani kontrak bersama Kelantan sebentar tadi. Dia akan memperkuat Kelantan selama dua tahun," katanya kepada mStar Online.

Veenod merupakan pemain pertama yang dibawa masuk secara rasmi menyertai skuad Kijang itu.

Bibi berkata kebolehan Veenod beraksi di pelbagai posisi antara faktor utama Kelantan menawarkan kontrak kepadanya.

"Dia boleh beraksi di banyak posisi. Pada masa sama dia juga membantu posisi Piya (Mohd Badhri Radzi)," katanya.

Dalam pada itu Bibi berharap kehadiran Veenod mampu membantu memperkuatkan bahagian tengah TRW selain membimbing pemain muda pasukan itu menerusi pengalamannya beraksi dalam pelbagai kejohanan utama sebelum ini.

"Kami amat berbesar hati kerana dia bersetuju menyarung jersi TRW selama dua musim. Diharap dia boleh membantu pasukan mencipta lebih banyak kejayaan pada musim depan," katanya.

Veenod mewakili Selangor selama empat tahun dengan melakukan 119 penampilan bersama skuad Merah Kuning sebelum berhijrah ke Kelantan pada Rabu.

Dia juga pernah mewakili skuad kebangsaan sebanyak lima kali pada tahun lalu.


Tags / Kata Kunci: S Veenod , TRW
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan