“Selamat Tinggal Cabrera, Guerra” - Bola Sepak | mStar

“Selamat Tinggal Cabrera, Guerra”

Diterbitkan: Isnin, 20 November 2017 8:31 PM

Gonzalo Cabrera dan Gabriel Guerra digugurkan daripada beraksi pada perlawanan musim depan. - Bernama

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Juara Liga Super dan Piala Malaysia 2017, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Isnin membuat kejutan apabila menggugurkan dua pemain importnya, Gonzalo Cabrera dan Gabriel Guerra sebagai langkah awal membentuk pasukan terkuat bagi menghadapi saingan musim depan.

Nasib dua pemain kelahiran Argentina itu dumumkan oleh Pengarah Sukan JDT, Martin Prest menerusi laman rasmi Facebook, Johor Southern Tigers, sekali gus menyaksikan khidmat dua pemain berkenaan hanya bertahan selama semusim sahaja.

Dua pemain tersebut menyertai skuad Harimau Selatan itu pada Disember tahun lepas.

“Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Gonzalo Cabrera dan Gabriel Guerra.

Pintu Johor Darul Ta'zim FC sentiasa terbuka untuk mereka dan kami yakin mereka akan menjadi sebahagian daripada kelab ini pada masa akan datang.

"Mereka berdua sangat profesional di dalam dan di luar gelanggang dan kami bertuah untuk memiliki kedua-dua pemain ini sebagai sebahagian daripada projek JDT.

"Terima kasih dan tahniah kerana membantu JDT memenangi kejuaraan Liga Super dan Piala Malaysia. Terima kasih dan selamat maju jaya kepada Gonzalo Cabrera dan Gabriel Guerra," kata Prest dalam entri terbaru dalam Facebook rasmi JDT itu.

Guerra dan Cabrera merupakan antara tonggak utama skuad kendalian Ulisses Morais pada musim ini selepas berjaya memperagakan aksi terbaik untuk membantu JDT meraih kejuaraan berganda termasuk menewaskan Kedah 2-0 pada final Piala Malaysia 2017. - Bernama

Tags / Kata Kunci: JDT
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan