AFC: Tak Beri Kedah Lesen 'Keputusan Betul' - Hamidin

Diterbitkan: Ahad, 19 November 2017 12:28 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyifatkan tindakan tidak memberikan lesen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kepada Kedah dan mencalonkan pasukan lain bagi mengisi slot ke kejohanan tersebut sebagai satu keputusan yang betul.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata kegagalan Kedah mendapatkan lesen AFC adalah disebabkan mereka tidak menghantar penyata kewangan beraudit yang menjadi antara kriteria wajib, mengikut tarikh akhir yang ditetapkan FAM.

"Berhubung isu Kedah, sudah jelas dan nyata yang hanya kelab-kelab yang memenuhi kriteria ditetapkan dalam peraturan mengikut tarikh akhir yang telah ditentukan oleh FAM akan diberikan lesen (AFC dan kebangsaan).

"Oleh itu, hanya dokumen-dokumen yang dimuat naik dalam Sistem Pentadbiran Pelesenan Kelab AFC (CLAS) sebelum tarikh ditetapkan First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM akan diteliti bagi memastikan lesen diberikan adalah benar-benar tepat.

"Sehingga tarikh berkenaan, Kedah tidak menghantar penyata kewangan beraudit mereka yang merupakan kriteria wajib. AFC juga jelas menyatakan bahawa tiada dokumen luar dari sistem CLAS yang boleh dipertimbangkan.

"Ini bermakna, dengan tarikh akhir ditetapkan sistem CLAS dan tarikh FIB bersidang sudah dilewati, tiada pasukan dibenarkan untuk memuat naik apa juga dokumen tambahan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Hamidin berkata, sebagai pemberi lesen, FAM turut bertanggungjawab mencalonkan pasukan-pasukan untuk mewakili Malaysia pada kejohanan Piala AFC.

Hamidin Mohd Amin.

"Pencalonan ini memerlukan sesebuah kelab itu memiliki Lesen AFC. Jadi penganugerahan lesen tersebut adalah berdasarkan Peraturan Pelesenan Kelab FAM yang dibangunkan bersama dengan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP).

"Ia selari dengan garis panduan AFC dan peraturan ini telah dihantar kepada AFC untuk mendapat pengesahan sebelum ia dilaksanakan di peringkat tempatan," katanya.

Bagaimanapun Hamidin berkata, Badan Rayuan (AP) Pelesenan Kelab FAM memilih menerima penyerahan lewat penyata kewangan diaudit oleh Kedah bagi memberi mereka ruang untuk dipertimbangkan bagi mendapatkan lesen kelab di peringkat kebangsaan.

"Perkara ini dibenarkan kerana dalam peraturan tersebut terdapat pengecualian boleh dibuat dalam pemberian lesen kebangsaan," katanya.

Jelas beliau, jika lesen AFC turut diberikan dalam situasi ini, maka ia jelas satu tindakan yang tidak betul kerana mengikut rekod dalam sistem CLAS, tiada penyata kewangan diaudit yang telah dihantar oleh Kedah.

"Jadi adalah satu keputusan yang betul untuk tidak memberikan Lesen AFC kepada Kedah dan mencalonkan pasukan lain yang telah pun memiliki Lesen AFC untuk mengisi slot ke Piala AFC.

"Andai Kedah diberikan Lesen AFC dan dicalonkan untuk ke Piala AFC, kemungkinan audit daripada pihak AFC bakal mendapati yang lesen telah diberi secara salah dan FAM akan dikenakan hukuman," katanya.

Pada masa sama, Hamidin berkata Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) telah dimaklumkan mengenai keputusan tersebut melalui surat bertarikh 1 November lalu.

"Dalam surat itu, mereka dimaklumkan bahawa mereka hanya diberi kelulusan untuk lesen Kelab FAM manakala masih gagal untuk Lesen Kelab AFC yang membawa maksud Kedah tidak layak untuk beraksi pada pertandingan Piala AFC 2018.

"Ini sekali gus menafikan dakwaan di media yang mereka langsung tidak diberitahu mengenai hal ini," katanya.

Susulan itu, Hamidin turut berharap agar tidak timbul sebarang teori konspirasi atau khabar angin mendakwa FAM dan FMLLP tidak memberi layanan adil kepada Kedah.

"Memang FAM dan FMLLP mahukan pasukan yang terkuat untuk mewakili Malaysia pada kejohanan Piala AFC bagi memastikan kita dapat mengumpul mata ranking yang baik bagi penyertaan pada masa akan datang.

"Namun Kedah telah pun diberikan banyak peluang untuk memenuhi keperluan peraturan sebelum tarikh ditetapkan FIB.

"Meskipun gagal mendapatkan lesen AFC, mereka berjaya memperoleh lesen kebangsaan untuk beraksi pada Liga Super 2018," katanya.

Tags / Kata Kunci: FAM , Kedah , Lesen AFC

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan