Terengganu Perlu ‘Garang’ Untuk Julang Piala Presiden - Bola Sepak | mStar

Terengganu Perlu ‘Garang’ Untuk Julang Piala Presiden

Diterbitkan: Khamis, 19 Oktober 2017 9:11 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Pasukan Terengganu perlu beraksi lebih agresif menentang Selangor pada perlawanan akhir kedua  di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, Jumaat, seandainya berhasrat menjulang Piala Presiden 2017.

Jurulatih skuad Piala Presiden Terengganu, Mustaffa  Kamal Abd Wahab berkata walaupun ketinggalan dua gol, ia tidak mematahkan semangat anak buahnya untuk mencipta kemenangan terutamanya  beraksi di laman  sendiri.

“Ini aksi yang penting dan terakhir untuk kita meraih kejuaraan. Kita mengharapkan sokongan padu penyokong Terengganu untuk menaikkan semangat pemain untuk mencipta kemenangan.

“Walaupun Selangor memiliki kelebihan, kita ada cara dan taktik untuk menewaskan lawan dengan kelebihan banyak gol,” katanya pada sidang media di pejabat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) pada Khamis.

Pada perlawanan akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, 14 Okt lepas, Selangor  menewaskan  Terengganu 2-0.

Mustaffa Kamal juga yakin terhadap kemampuan anak buahnya terutama dengan kehadiran pemain tengah Mohd Ridzuan Mohd Razali yang kembali memperkuatkan pasukan setelah digantung satu perlawanan selepas aksi separuh akhir menentang Kelantan.

“Sudah semestinya kita akan mencari gol awal dan pemain harus mencipta banyak peluang dalam  menjaringkan gol,” katanya.

Sementara itu, jurulatih skuad bawah 21 tahun Selangor, Omar Ali berkata meskipun pasukannya memiliki kelebihan dua gol, ia bukannya satu kedudukan yang selesa.

“Kita akan menurunkan barisan pemain yang sama dan mereka semua dalam keadaan terbaik. Kita menaruh harapan tinggi untuk muncul juara setelah kali terakhir kita menjulang kejuaraan tersebut pada 2008,” katanya. - Bernama

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan