Niena Azman ‘Hope Solo’ Malaysia

Diterbitkan: Rabu, 16 Ogos 2017 8:16 AM

(Ubah saiz teks)

MENGAKUI pernah tertekan gara-gara didakwa melanggar perintah berkurung kem akhir kontinjen Sukan SEA Kuala Lumpur baru-baru ini, penjaga gol futsal wanita negara, Nur Izwani Azman bagaimanapun tidak patah semangat.

Sebaliknya, Nur Izwani atau lebih disapa sebagai Niena Azman berkata kontroversi itu menjadi pemangkin semangat untuk menghadiahkan sekurang-kurangnya pingat perak buat negara dalam acara futsal yang akan membuka tirainya, Jumaat ini.

Malah, Niena menganggap dia ibarat diberi peluang kedua untuk mewakili negara selepas terlepas daripada hukuman pengguguran memandangkan temasya kali ini merupakan penampilan terakhirnya di pentas Sukan SEA.

"Sudah tentu saya rasa kecewa dan tertekan tapi perkara yang dah lepas tu biarlah. Saya kini hanya mahu fokus pada Sukan SEA.

"Lagipun ini mungkin penampilan terakhir saya, jadi saya mahu bantu pasukan meraih sekurang-kurangnya pingat perak. Saya tak nak letak sasaran terlalu tinggi, cukuplah sekadar memperbaiki pingat gangsa yang dimenangi pada 2013.

"Tapi andai dapat pingat emas, itu boleh dianggap satu bonus kepada pasukan dan juga diri saya. Saya akan cuba lakukan yang terbaik," katanya kepada mStar Online.


Bercerita mengenai penglibatannya dalam futsal, atlet kelahiran Johor Bahru itu berkata dia mula aktif bermain sukan lasak itu ketika berusia 17 tahun.

Namun tidak ramai yang tahu, Niena sebenarnya seorang pemain bola jaring yang beraksi di posisi pengadang gol (GD) sebelum berubah angin kepada sukan yang didominasi golongan adam itu.

"Ramai yang tak tahu saya bermula dengan bermain bola jaring. Minat terhadap futsal timbul apabila saya menyertai rakan-rakan bermain sukan indoor ini.

"Kebetulan tak ada penjaga gol, jadi dari situlah bermulanya karier saya di posisi tersebut. Saya tak ada masalah jadi penjaga gol kerana semasa bermain bola jaring saya di posisi GD, jadi ada kemahiran asas di situ," katanya.

Memandangkan pada waktu itu tiada liga futsal kebangsaan, Niena kemudiannya terpilih mewakili negeri Johor pada 2004 dalam acara bola padang sebelum dipanggil memperkuat skuad bola sepak wanita negara untuk beraksi pada pusingan kelayakan kejohanan AFC Wanita Bawah 21 tahun.


"Sejak dari itu saya terus aktif bermain bola sepak. Sehinggalah liga kebangsaan diadakan baharulah saya kembali semula ke sukan futsal. Saya pernah bermain untuk Johor, Pahang, Kelab Putra Ria, PDRM dan terbaharu, Felda United," katanya.

Pernah dikecam kerana bermain bola sepak, Niena bagaimanapun enggan ambil peduli dengan kritikan itu dan membuktikan dirinya boleh menguasai sukan berkenaan.

"Tipulah kalau tak ada yang kecam saya sebab pilih sukan ini tapi ia tidak mematahkan semangat saya. Malah saya berjaya buktikan bahawa wanita juga boleh berjaya dalam sukan ini," katanya.

Niena turut menasihati golongan wanita yang aktif dalam sukan bola sepak dan futsal supaya mengetepikan perasaan malu dan berani menonjolkan bakat mereka.

"Kita kena berani ke hadapan, buang perasaan takut dan malu ketika di dalam gelanggang. Insya-Allah kita akan berjaya dalam apa jua bidang yang kita ceburi," katanya.

Niena yang juga jurulatih futsal di Academia de Futsal dan Putra Ria FC berkata dia amat mengagumi penjaga gol Amerika Syarikat (AS), Hope Solo untuk terus maju dalam sukan lasak ini.


"Saya menjadikan Hope Solo sebagai idola saya. Dia bukan sahaja cantik tetapi mempunyai kehebatan yang luar biasa," katanya.

Jadi tidak hairanlah jika ada yang menganggap Niena sebagai 'Hope Solo Malaysia' kerana mempunyai pakej lengkap iaitu cantik dan berkebolehan.

Ini terbukti apabila dia pernah dilantik sebagai duta beberapa produk barangan sukan dan terbaharu model busana pengantin.

"Mula-mula agak kekok sebab kita kena buat aksi spontan di depan kamera, guna baju pengantin pula tu. Namun tak sangka, saya dapat 'pose' seperti yang dikehendaki pemilik butik pengantin. Ia satu pengalaman baharu bagi diri saya," katanya.

Jelas Niena, walaupun bergelar pemain futsal dia tidak pernah mengabaikan penampilan dirinya.

"Saya seperti wanita lain di luar sana yang mahu tampil cantik dan bergaya. Saya akan pergi spa sekali sebulan. Ia juga satu cara untuk saya rehatkan minda," katanya.

Ditanya mengenai kemahiran lain yang orang ramai tidak tahu mengenai dirinya, pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan dari Universiti Malaya itu berkata dia suka memasak.

"Saya memang suka memasak dan biasanya saya akan buat gathering bersama anak-anak buah. Mereka akan request sup ayam yang saya selalu masak.

"Pendek kata, saya suka masak menu berasaskan sup seperti mi sup, sup ayam dan juga soto," katanya.

Tags / Kata Kunci: Niena Azman , futsal , Sukan SEA KL 2017

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan