TMJ, Shebby Bersemuka Malam Ini

Diterbitkan: Selasa, 8 Ogos 2017 10:47 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Selepas lantang dalam mengkritik pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pengulas sukan Serbegeth Singh akan bertentang muka dengan orang kuat badan induk bola sepak itu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim malam Selasa.

Pertemuan yang akan diadakan di JDT Cafe, Johor Bahru pada pukul 8 malam Selasa itu pastinya ditunggu-tunggu peminat bola sepak tanah air selepas pelbagai isu terutamanya berkaitan FAM dibangkitkan sebelum ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam dan Presiden Persatuan Pemain Profesional Bola sepak Malaysia (PFAM) Hairuddin Omar sebagai panel penceramah.

Dalam pertemuan itu, antara topik hangat yang akan dibincangkan termasuk Artikel 88, isu penggantungan Ketua Jurulatih Pahang Dollah Salleh, isu pengadil dan skuad kebangsaan.

Dalam satu kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers, penyokong bola sepak tanah air turut dijemput untuk menyaksikan perbincangan tersebut.

"Kami juga mengalu-alukan para penyokong dari negeri Pahang, Kelantan, Perak dan Kedah serta dari negeri lain untuk turut hadir menyertai perbincangan ini," demikian menurut kenyataan itu.

Orang ramai yang hadir turut berpeluang untuk mengutarakan persoalan berbangkit kepada Tunku Ismail, Shebby dan panel penceramah yang hadir.

Bagi mereka yang tidak dapat hadir ke sesi perbincangan itu, usah bimbang kerana siaran langsung dapat disaksikan melalui Facebook.



Tags / Kata Kunci: TMJ , Shebby

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan