Vingada Gugur 11 Pemain

Diterbitkan: Jumaat, 4 Ogos 2017 12:25 PM

Nelo Vingada.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Selepas tewas 1-2 kepada Lubnan pada aksi kelayakan pertama Kumpulan B, Piala Asia 2019, 13 Jun lalu, Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Nelo Vingada akhirnya melakukan rombakan besar-besaran apabila menggugurkan 11 pemain yang diturunkan dalam perlawanan tersebut.

Mereka yang digugurkan adalah Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Afif Amiruddin, Mohd Faisal Mohd Rosli (Pahang), Shahrul Saad (Perak), Amri Yahyah (Selangor), Safee Sali, Mohd Nazrin Syamsul Bahri (PKNS FC) dan Izham Tarmizi Roslan, Mahalli Jasuli, S Chanthuru serta Azammuddin Akil (Johor Darul Ta’zim).

Dua lagi yang turut dilepaskan adalah Matthew Davies dan Nor Azam Abdul Azih yang akan mewakili skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara bagi menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2019 bermula 14 hingga 29 Ogos ini.

Daripada 26 pemain yang dipanggil Vingada pada penampilan pertamanya bersama skuad negara, hanya 13 dikekalkan untuk kem latihan pusat di Melaka bermula 14 Ogos ini.

Mereka adalah Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali, Syazwan Zainon, Khairul Helmi Johari dan Akram Mahinan (Kedah), Ahmad Hazwan Bakri, Safiq Rahim dan Amirulhadi Zainal (JDT), Hafizul Hakim Khairul Nizam Johty, Shahrom Abdul Kalam dan Nazirul Naim Che Hashim (Perak), Ahmad Syamim Yahya (Pahang) serta Khairulazhan Khalid (Selangor).

Barisan pemain yang diturunkan Vingada ketika aksi menentang Lubnan 13 Jun lalu.

Sebagai ganti pemain yang digugurkan, pengendali kelahiran Portugal itu menamakan sembilan muka baharu termasuk memanggil semula dua pemain JDT, Aidil Zafuan Abd Radzak dan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham yang terpaksa dikeluarkan sebelum ini akibat kecederaan.

Mereka yang terpilih adalah penjaga gol Farhan Abu Bakar dan Fitri Omar (Kedah), Darren Lok dan Fadhli Shas (JDT), Nasir Basharudin dan Nazrin Nawi (Perak), Kiko Insa (Pahang), Wan Zack Haikal Wan Nor (Felda United) dan Shahrel Fikri Md Fauzi (PKNP FC).

Selepas menjalani latihan pusat harian selama seminggu di Stadium Hang Tuah, Melaka, anak buah Vingada akan bertemu Syria pada 22 Ogos sebelum menentang Macau di Kompleks Olimpik Macau (25 Ogos) untuk aksi persahabatan antarabangsa 'A'.

Kemudian mereka akan berlepas ke Yangon, Myanmar pada 26 Ogos untuk aksi menentang Myanmar di Stadium Thuwunna, Yangon, dua hari selepas itu.

Selesai sahaja tiga perlawanan persahabatan antarabangsa itu, anak buah Vingada akan pulang ke tanah air pada 30 Ogos ini sebelum meneruskan latihan pusat di Melaka bagi menghadapi Hong Kong di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 5 September depan.

Tags / Kata Kunci: Nelo Vingada , Harimau Malaya

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan