Negeri Sembilan Mesti Menang

Diterbitkan: Isnin, 24 Julai 2017 7:04 PM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Pasukan Negeri Sembilan tiada pilihan lain selain menang menentang pasukan Terengganu pada perlawanan pusingan kedua Liga Perdana 2017 di Kuala Terengganu, Selasa, bagi membolehkan pasukan itu menempah tiket ke Liga Super tahun hadapan.

Pengerusi Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kemenangan itu amat penting bagi menentukan pasukan dapat mencapai matlamat ditetapkan pada awal musim atau tidak.

“Tidak ada lagi seri atau kalah, saya harap pasukan dapat beri tumpuan sepenuhnya esok,” katanya kepada pemberita selepas majlis Rumah Terbuka Wisma Negeri di sini, Isnin.

Mohamad berkata, beliau berharap pasukan dapat mencapai kemenangan, bukan sahaja pada perlawanan malam esok menentang pasukan Terengganu, tetapi juga perlawanan seterusnya.

“Kita mempunyai baki empat perlawanan lagi selepas itu,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, entah di mana silapnya, apabila mereka (pasukan Negeri Sembilan) mula mencatatkan beberapa keputusan seri berturut-turut sebelum liga berehat, sedangkan sudah selesa pada pusingan pertama.

“Kita sepatutnya sudah selesa, tetapi kita terlampau selesa awal sangat selepas jauh tinggalkan pesaing dengan tujuh mata. Tidak tahu di mana silapnya apabila kita seri lima perlawanan selepas itu sebelum kita rehat untuk fasa kedua liga… jadi, saya minta supaya jurulatih dan pegawai serta pemain pasukan Negeri Sembilan dapat tumpukan sepnuh perhatian.

"Jangan kita leka dan jangan kita mengambil remeh dan pandang ringan permainan seterusnya kerana kita perlu menang jika tidak susah untuk pasukan Negeri Sembilan masuk ke Liga Super tahun depan,” katanya. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Negeri Sembilan , Liga Perdana

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan