Tewas Kepada Thailand Bukan Penamat Karier Anak Muda Negara

Diterbitkan: Jumaat, 21 Julai 2017 1:50 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Walaupun skuad Bawah 15 Tahun (B-15) negara terkandas di peringkat separuh akhir Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), namun pengendali Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) positif dengan keputusan tersebut kerana pemain berkenaan mempunyai masa untuk memperbaiki segala kelemahan.

Anak muda negara yang masih dalam proses pendedahan itu tewas tipis 0-1 kepada Thailand di Chonburi petang Khamis.

Menurut Pengarah Kanan PPBN, Safirul Azli Abu Bakar, objektif skuad tersebut dihantar bersaing pada kejohanan berkenaan telah dicapai walaupun terkandas.

"Salah satu objektif kita adalah melihat permainan Thailand, dan sekarang kita dah tahu corak dan rentak mereka, itu penting.

"Kita juga menaruh keyakinan mampu menjuarai kejohanan ini berdasarkan peluang 50-50 ketika bertemu Vietnam dan Thailand.

"Bagaimanapun, ia tidak berlaku seperti yang diharapkan. Tewas tipis berpunca daripada kesilapan-kesilapan individu termasuk salah faham antara pemain pertahanan dan penjaga gol.

"Situasi sama juga yang berlaku ketika bertemu Kemboja sebelum ini, tetapi pada pendapat saya permainan bertemu Thailand ini jauh lebih baik.

"Pemain-pemain ternyata amat kecewa kerana mereka yakin boleh menang pada perlawanan itu," ujarnya kepada mStar Online.

Safirul memberitahu, fokus skuad berkenaan kini tertumpu kepada perebutan tempat ketiga dan keempat menentang Australia.

"Kita tidak pernah bertemu skuad pelapis Australia. Jadi pengalaman ini amat penting bagi pasukan dalam persiapan kelayakan Piala AFC (B-16) September ini.

"Pada masa sama, pemain-pemain perlu ingat bahawa aksi di Thailand itu bakal menjadi bekalan kepada mereka untuk dipilih menyertai skuad utama.

"Jurulatih Lim Teong Kim (Pengarah PPBN) akan menilai prestasi pemain-pemain ini untuk dimasukkan ke dalam skuad utama ke Piala AFC nanti," tambah Safirul.


Tags / Kata Kunci: PPBN , Safirul Abu Bakar

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan