Ahli Parlimen Gesa Mourinho Disiasat

Diterbitkan: Isnin, 26 Jun 2017 10:12 AM

(Ubah saiz teks)

ISU pembayaran cukai melibatkan bos Manchester United, Jose Mourinho dijangka berpanjangan selepas seorang anggota Parlimen Britain menggesa agar siasatan berhubung kes itu dilaksanakan.

Mourinho berdepan tuduhan melakukan perbuatan itu selepas kes itu difailkan oleh pendakwa raya Sepanyol pada minggu lalu yang mengaitkan pengurus United tersebut mengelak membayar cukai ketika menguruskan Real Madrid.

Pengendali berusia 54 tahun berkenaan menafikan tuduhan terbabit tetapi seorang hakim di Madrid akan memutuskan sama ada kes itu akan dibawa ke mahkamah atau tidak.

Jika disabitkan kesalahan, Mourinho boleh dikenakan hukuman penjara antara dua hingga enam tahun dan denda sehingga 17.4 juta pound sterling.

Mengikut dakwaan yang dikemukakan, Mourinho mengelak membayar cukai di Sepanyol sebanyak 2.9 juta pound sterling antara tahun 2010 dan 2013.

Ahli Parlimen Britain, Meg Hillier menggesa bekas bos Chelsea itu disiasat di Britain untuk memastikan perkara sama tidak berulang di sini.

Hillier memberitahun The Sunday Times, pihak kastam Britain perlu melaksanakan siasatan (ke atas Mourinho) seperti yang dilakukan oleh pihak berkuasa Sepanyol.

Bagaimanapun tiada kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa Britain sama ada mahu melakukan siasatan ke atas Mourinho berhubung isu tersebut. - MAIL ONLINE

Tags / Kata Kunci: Jose Mourinho

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan